Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR, DAP anggap Hadi buat tuduhan liar, tak bertanggungjawab

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berpendapat Abdul Hadi Awang sekadar membuat tuduhan rambang dan tidak disertakan bukti apabila mendakwa sebahagian besar pelaku rasuah di negara ini membabitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera.

Kata Fahmi tidak wajar untuk presiden PAS itu mendakwa orang bukan Islam dan bukan bumiputera membentuk sebahagian besar "merosakkan politik dan ekonomi" Malaysia.

"Dari mana dia dapat angka-angka ini? Kenyataan secara umum begitu benar-benar suatu tuduhan liar, dan tidak wajar.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tidak mengeluarkan pecahan pelaku rasuah mengikut kaum," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ahli parlimen Lembah Pantai itu ditanya mengenai kenyataan Abdul Hadi mengenai amalan rasuah dan penyelewengan dibuatnya semalam.

Fahmi Fadzil

Ketika Abdul Hadi menyebut bagaimana ada individu tertentu yang "dihukum oleh media" sebelum dibuktikan di mahkamah, dia turut mengecam adanya pihak tertentu yang dijadikan kambing hitam selepas bertindak sebagai proksi kepada "penyangak" tertentu.

Duta khas bertaraf menteri itu juga mengecam pihak yang "menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram."

"Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

"Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera," kata Abdul Hadi.

Tak harap selesai masalah

Menurut Fahmi jika melihat kepada skandal rasuah yang memalukan negara seperti 1MDB, individu utama yang terbabit membuat keputusan ialah orang Melayu-Islam iaitu Najib Razak.

Apabila melihat skandal terkini membabitkan kapal tempur pesisir (LCS), katanya, mereka yang terlibat dalam pengkhianatan ke atas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pemimpin Melayu-Islam juga dikaitkan seperti Najib dan Ahmad Zahid Hamidi.

Fahmi juga mengingatkan pasukan TLDM itu sebahagian besarnya dianggotai oleh orang Melayu-Islam.

"Kita mesti berhenti meletakkan kesalahan kepada orang lain," katanya.

Sementara itu naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat pandangan Abdul Hadi terhadap rasuah adalah cacat dalam dua aspek.

Nik Nazmi Nik Ahmad

"Dia cuba memfitnah dalam usaha untuk mewajarkan politik Melayu-Islam yang mengkhianati perjuangan (bekas pemimpin PAS) Dr Burhanuddin Helmy dan Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Abdul Hadi Dia tidak memberikan fakta atau angka untuk menyokong kenyataan tersebut, sebaliknya hanya menghangatkan sentimen kaum.

"Rasuah bukan tentang kaum atau agama, tetapi sebahagian besarnya adalah jenayah golongan elit ke atas rakyat biasa Malaysia," kata Nik Nazmi.

Tambah Ahli Parlimen Setiawangsa itu lagi Abdul Hadi hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri berbanding kepentingan rakyat semasa membuat kenyataan tersebut.

"PAS bekerjasama dengan Umno pada 2018 dan kemudian Bersatu pada 2020. Dia tidak peduli pun bagaimana tindakan itu mengelirukan ahli PAS di lapangan, melemahkan kedudukan parti sebagai alternatif kepada parti-parti ini di kawasan Melayu dan paling penting, dia mengkhianati perjuangan parti.

"Dakwaan tersebut juga dibuat untuk Abdul Hadi mengelak daripada dipertanggungjawabkan apabila timbul isu rasuah di negeri dan kementerian ditadbir PAS," tambahnya.

Kelvin Yii

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii pula mengingatkan Abdul Hadi bahawa pemimpin sepatutnya menyemai semangat patriotisme kepada semua rakyat Malaysia.

"Sebaliknya kita ada pemimpin tertinggi dari PAS yang menghasut perpecahan dan menimbulkan permusuhan sesama kaum.

"Walaupun kita semua bersetuju bahawa memerangi rasuah itu penting, ia bukan isu perkauman sebaliknya ketamakan dan masalah sistemik dan institusi di negara kita yang membolehkan amalan seperti itu berleluasa.

"Jadi, daripada membuat kenyataan berdasarkan anggapan yang boleh menyebabkan perpecahan, Abdul Hadi sepatutnya bersatu menentang rasuah.

"Bayangkan jika seorang bukan Islam membuat penghinaan yang sama, polis berkemungkinan akan mengetuk pintu mereka pada pukul 4 pagi," kata Yii sambil menambah bahawa berdasarkan kenyataan sedemikian Abdul Hadi tidak berhak untuk menjadi sebahagian daripada politik arus perdana.

Abdul Aziz Bari

Abdul Aziz Bari yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak berkata kenyataan Abdul Hadi itu adalah karut serta berbaur perkauman.

"Rasuah adalah masalah di banyak negara sejak berzaman sepanjang sejarah dan tidak terhad kepada orang Islam atau bukan Islam.

"Komen itu menunjukkan PAS sebuah parti politik yang tidak berpijak di bumi nyata dan tidak layak untuk mentadbir. Sebagai tok guru Abdul Hadi sepatutnya berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar bukannya bermain politik perkauman," katanya.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, juga menganggap Abdul Hadi sangat tidak bertanggungjawab apabila membuat kenyataan berkenaan itu.

"Rakyat daripada semua kaum dan agama terlibat dalam rasuah. Jika Abdul Hadi nak tahu masyarakat mana yang menjadi sebahagian besar daripada pengamal rasuah, dia harus melihat rekod mahkamah dan mendedahkan siapakah mereka yang didakwa dan disabitkan dalam pertuduhan rasuah.

"Komen itu saja menunjukkan Abdul Hadi tidak faham isu tersebut, macam mana kita mahu mengharapkan dia menyelesaikannya," tambah Chang.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS