Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan halang PRU dengan alasan parlimen tergantung - Umno
Diterbitkan:  Aug 22, 2022 3:53 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Umno menggesa supaya alasan kemungkinan parlimen tergantung tidak digunakan untuk menghalang pilihan raya umum diadakan.

Memetik ahli akademik tersohor  Wong Chin Huat, presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata keadaan itu tidak seburuk digambarkan, jika berlaku.

“Profesor sains politik dan demokrasi tersebut menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku hung parlimen atau parlimen tergantung.

“Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk  seperti digambarkan pihak tertentu malah  tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk,” katanya.

Wong Chin Huat

Dalam simposium Keluarga Malaysia semalam, Wong antaranya dilaporkan berkata parlimen tergantung tidak menyebabkan keadaan yang teruk seperti digambarkan dan bukanlah asing.

Katanya, jika dilihat dengan konteks lebih luas, terdapat negara berjaya disebabkan kekuatan daripada campuran kerajaan yang dibentuk.

“Sejak selepas Perang Dunia Kedua, semua kerajaan di Jerman merupakan kerajaan campuran.

“Dan hari ini Jerman tetap muncul sebagai sebuah negara yang memiliki ekonomi yang paling kuat dalam kalangan negara dalam Kesatuan Eropah," katanya lagi.

Bangunan parlimen

Katanya, jangkaan parlimen tergantung itu benar tetapi tidak perlu dikhuatiri kerana faktor paling utama adalah parti-parti Sabah dan Sarawak memilih jalan sendiri, lapor Astro Awani.

“Ini bermaksud, untuk mengelakkan parlimen tergantung, gabungan nasional seperti BN perlu memenangi hampir seratus kerusi di semenanjung dan ia hampir tidak mungkin berlaku, kecuali kadar mengundi sangat rendah. 

“Kalau kadar mengundi sangat rendah, keabsahan kerajaan pula akan dipertikaikan," jelasnya.

Mitos

Justeru, dalam kenyataan hari ini, Zahid menyifatkan alasan kesan buruk kepada negara akibat parlimen tergantung cuma mitos.

“Autoriti pencerahan oleh profesor sains politik tersebut mampu  memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik  semasa.

“Justeru, janganlah menggunakan alasan takut parlimen tergantung seperti cuba dikhabarkan bagi menghalang PRU diadakan,” katanya.

Lihat Komen
ADS