Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan terus mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam pendengaran rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu yang dikemukakan di saat-saat akhir agar Tengku Maimum menarik diri daripada mendengar rayuannya.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.
Selepas hampir tiga jam menangguhkan prosiding hari ini bagi memutuskan permohonan itu, Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman panel berkenaan berkata tidak ada kaitan antara hantaran Facebook yang dimuat naik oleh suaminya dengan rayuan Najib di hadapan mahkamah.
“Hantaran ini dimuat naik empat tahun lepas,” katanya.
Tengku Maimun berkata berdasarkan hantaran Facebook yang dimuat naik oleh suaminya (Datuk Zamani Ibrahim) dan 'Walk for Justice' anjuran Majlis Peguam, beliau berpandangan bahawa ini tidak bermakna ambang berat sebelah dalam perundangan telah dilepasi.
“Tindakan menggugurkan seorang hakim adalah bahaya sebenar berlakunya berat sebelah. Pada pendapat saya, ujian berhubung perkara ini belum dibuktikan. Hantaran Facebook oleh suami saya tidak terjumlah kepada bahaya sebenar berlakunya berat sebelah," katanya.
Beliau berkata hantaran Facebook itu dibuat empat tahun lepas semasa kes itu belum berlaku.
"Pandangan itu dinyatakan oleh pihak ketiga (oleh pasangan) dan surat yang dikeluarkan oleh mahkamah untuk membenarkan para peguam menyertai Walk of Justice bukanlah satu permulaan," katanya.
Abang Iskandar turut mengulangi bahawa panel itu menolak permohonan untuk menggugurkan Tengku Maimun kerana sewaktu hantaran Facebook suaminya dimuat naik, kes tersebut belum bermula.
- Bernama