Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib bersalah: Kemenangan rakyat, kata DAP
Diterbitkan:  Aug 23, 2022 5:11 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

DAP menyifatkan keputusan kes SRC International terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak adalah satu kemenangan buat rakyat Malaysia, kata setiausaha agungnya, Anthony Loke.

"Hari ini merupakan hari kemenangan untuk rakyat Malaysia yang berani membuat perubahan pada 9 Mei 2018!

"Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini juga merupakan kemenangan untuk sistem demokrasi negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Ahli parlimen Pekan itu akan menjalani hukuman penjara selama 12 tahun mulai hari ini.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Selain Tengku Maimun, empat lagi yang mendengar permohonan Najib ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim, selain hakim kanan P Nallini,

Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Selepas keputusan dibacakan, beberapa anggota polis dilihat menghampiri Najib di kandang tertuduh bagi melaksanakan hukuman penjara itu.

Mengulas lanjut keputusan mahkamah itu, Loke berkata keputusan terbabit juga merupakan amaran kepada semua kepimpinan parti politik hari ini.

"Keputusan ini adalah amaran kepada semua pemimpin politik yang diberikan kuasa dan mandat oleh rakyat supaya jangan sesekali menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri sendiri.

"Orang yang paling berkuasa sekalipun, yakni, perdana menteri, boleh dijatuhkan oleh rakyat dan menghadapi penghakiman mahkamah," katanya.

Sementara itu, ahli parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata keputusan panel lima hakim Mahkamah Perskeutuan hari ini menunjukkan tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang.

“Sabitan terhadap Najib menunjukkan tiada yang mengatasi undang-undang termasuk ahli politik dan kebebasan badan kehakiman telah diperkukuh/diperkuat," katanya.

Lihat Komen
ADS