Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tak pernah pertikai RM42 juta masuk ke akaun peribadi - Mahkamah persekutuan

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mempertikai RM42 juta didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya sepanjang perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat itu berkata, teras pembelaan Najib adalah untuk mencabar elemen mens rea atau niat melakukan jenayah iaitu beliau menafikan pengetahuan bahawa dana itu adalah daripada SRC.

Hakim nombor satu negara itu berkata pihak pendakwaan berpendirian bahawa pihak pembelaan tidak wajar dipercayai kerana di satu pihak, mereka mendakwa RM42 juta yang dikatakan telah diperoleh secara salah oleh perayu (Najib) sehingga menyebabkan kerugian kepada SRC tidak beliau ketahui.

Beliau berkata sebaliknya, perayu juga menegaskan bahawa beliau telah dianiaya dalam konspirasi yang oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Allahyarham Datuk Azlin Alias ​​(ketika itu setiausaha sulit utama Najib), Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC), dan pegawai bank.

“Perayu juga mempertahankan bahawa wang yang dikreditkan ke dalam akaun peribadi di bank AmIslamic yang menjadi subjek enam pertuduhan terakhir, adalah derma dari Arab Saudi.

“Responden berhujah mereka sentiasa mengekalkan dalam perbicaraan bahawa pembelaan sama sekali tidak konsisten dan bercanggah. Responden juga merujuk kepada bukti dokumen yang membuktikan perayu telah membelanjakan RM42 juta,” katanya.

Ketua Hakim Negara seterusnya berkata Hakim Mahkamah Tinggi (Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) tidak terkhilaf dalam menilai semua keterangan yang dikemukakan berhubung pembelaan dan tidak mempercayai naratif pembelaan.

Tengku Maimun berkata mahkamah membuat kesimpulan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan adalah betul.

“Dalam membuat kesimpulan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, kami mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan analisis menyeluruh terhadap keterangan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

“Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan adalah jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan. Kami bersetuju bahawa pembelaan sememangnya tidak konsisten dan luar biasa sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata Ketua Hakim Negara.

Dalam mengetepikan rayuan terakhir Najib yang juga merupakan bekas perdana menteri, Ketua Hakim Negara berkata panel mendapati ‘rungutan’ perayu sebagaimana yang terkandung dalam petisyen rayuan tidak mempunyai merit.

“Kami mendapati sabitan semua tujuh pertuduhan terhadap perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan. Sabitan serta hukuman dikekalkan,” katanya.

Terdahulu Tengku Maimun berkata dalam rayuan yang menyaksikan peguam hadir namun bertegas enggan membuat sebarang hujahan walaupun diminta berkali-kali oleh mahkamah untuk berbuat demikian, mahkamah mempunyai kuasa untuk meneruskan prosiding rayuan mengikut Seksyen 92 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Katanya sehubungan itu mahkamah meneruskan prosiding, menimbang rayuan dengan mengambil kira rekod rayuan, termasuk petisyen rayuan yang menyenaraikan 96 alasan difailkan di Mahkamah Rayuan, serta penghakiman bertulis oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Kami tidak berpandangan perlunya menampilkan semula pertuduhan atau mengulangi sebarang fakta yang telah dinyatakan dengan secukupnya, dan menganalisis penghakiman Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Hakim perbicaraan yang arif membuat analisis yang terperinci terhadap semua bukti, yakni segala bukti dokumen dan lisan yang dibentangkan di hadapannya dalam tempoh kira-kira 86 hari perbicaraan. Mahkamah Rayuan begitu teliti memeriksa semua penemuan ini dan mendapati tiada kesilapan yang boleh dirayu,” katanya.

Hakim Tengku Maimun berkata peranan mahkamah tertinggi itu sebagaimana yang ditetapkan undang-undang, bukanlah untuk membuat penemuan baharu berhubung fakta terhadap bukti yang direkodkan, atau menggantikan ia dengan penemuannya sendiri.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahguna kedudukan.

Najib perlu menjalani 12 tahun penjara apabila hakim mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.

- Bernama

Lihat Komen
ADS