Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Audit LCS Bousted: RM890 juta berpotensi lesap akibat salah urus
Diterbitkan:  Aug 25, 2022 8:59 AM
Dikemaskini: 1:03 AM

Dianggarkan RM890 juta mungkin telah lesap pada peringkat awal projek kapal tempur pesisir (LCS), menurut laporan audit forensik.

Laporan audit, yang diarahkan oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), berkata potensi kerugian berpunca daripada enam kes.

BHIC ialah syarikat induk Boustead Naval Shipyards (BNS), kontraktor utama projek LCS.

Audit dilakukan dalam tempoh dari permulaan projek sehingga tahun kewangan BHIC 2014.

Bagaimanapun, juruaudit dalaman berkata sesetengah keputusan akan memberi kesan kepada urus niaga sehingga 2018.

Kes pertama yang disenaraikan menyebabkan potensi kerugian ialah dakwaan bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta untuk perkhidmatan teknikal kepada tiga syarikat pada 2011 dan 2012.

Butiran mengenai hal ini tidak jelas, kerana banyak bahagian yang berkaitan dengannya telah disunting dalam audit.

Bagaimanapun, bahagian itu masih boleh dibaca membabitkan Zainab Mohd Salleh dan suaminya, Abdul Latiff Ahmad.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa ia merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad, yang pernah menjadi timbalan menteri pertahanan di bawah Ahmad Zahid Hamidi.

Abdul Latiff menafikan bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isterinya.

Laporan audit itu menyebut Zainab sebagai pengarah tiga syarikat - Sousmarin Armada Sdn Bhd, Alizes Marine Malta dan Alizes Marine Labuan.

"Siasatan kami telah mengesahkan bahawa (Sousmarin) dimiliki oleh orang yang sama yang menyamar sebagai Alizes Marine France dengan mempunyai syarikat bernama Alizes Marine Ltd Labuan untuk mendapatkan dana yang dialihkan melalui Singapura," katanya.

Daripada RM23.37 juta yang didakwa diselewengkan, RM8.26 juta adalah melalui Sousmarin.

Dalam kes lain, juruaudit berkata Boustead Penang Shipyard (BPS) mungkin kerugian RM6.78 juta kerana terpaksa memesan semula 23 item yang tidak dihantar oleh Alizes Marine.

Perincian dan butiran mengenai kes ini telah disunting.

Sementara itu, laporan itu berkata tiga lagi sumber mengenai potensi kerugian berhubung projek LCS dikaitkan dengan Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan anak syarikatnya Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), berjumlah RM855 juta.

BHIC memiliki 51 peratus kepentingan dalam CAD, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh kontraktor pertahanan Jerman, Rheinmetall Air Defense (RAD).

Walaupun mempunyai pemilikan majoriti, audit mendapati bahawa lembaga pengarah BHIC telah menyerahkan pengurusan CAD kepada RAD.

Dalam satu kes, audit mendapati surat kelulusan (LOA) telah dikeluarkan untuk pembangunan Pusat Teknologi Bersepadu Boustead (BIT).

Audit menyatakan bahawa kos membangunkan pusat itu telah dimasukkan ke dalam LOA bernilai RM1.185 bilion untuk membangunkan sistem pengurusan tempur (CMS) LCS kepada CAD.

Ia telah dianugerahkan kepada CAD pada 9 April 2012.

Bagaimanapun, CAD menugaskan semula projek itu kepada CED pada hari yang sama, dan enam bulan kemudian, LOA tambahan sebanyak RM305 juta telah dikeluarkan untuk membangunkan Pusat BIT.

Audit berkata perjanjian tambahan itu "berdasarkan tatanama yang diubah, dan ia tidak dapat disahkan, berdasarkan bukti, bahawa ia perlu".

Kes kedua melibatkan CAD juga terikat dengan LOA bernilai RM1.185 bilion.

Juruaudit berkata, semasa semakan dan perbincangannya dengan ketua pegawai eksekutif BNS, Azhar Jumaat, didapati beberapa komponen di bawah LOA berjumlah RM537 juta, kelihatan diduplikasi dengan tatanama berbeza untuk komponen yang sama.

“Seseorang harus ambil perhatian bahawa pengurusan BNS bersetuju dan mengeluarkan LOA yang secara langsung memberi kesan kepada kos keseluruhan program LCS,” kata laporan itu.

Kes ketiga melibatkan CAD membabitkan perubahan mata wang yang tidak menguntungkan dalam beberapa perjanjian.

Laporan itu menyatakan bahawa pada Oktober 2013, CAD berisiko mengalami kerugian yang besar berikutan kelemahan Ringgit berbanding euro.

Audit berkata CAD sepatutnya mengambil langkah untuk meminimumkan kerugian.

Bagaimanapun, pengarah urusan BNS ketika itu, Ahmad Ramli Mohd Noor, mengakui kebimbangan yang dinyatakan oleh bos CAD, mencadangkan menukar mata wang dalam LOA - daripada ringgit kepada euro.

"Ini adalah langkah yang tidak dijangka kerana keputusannya bercanggah kerana dia juga dijangka menjaga kepentingan lebih besar kumpulan BHIC, yang diwakilinya dalam lembaga CAD," kata audit itu.

Audit berkata kebimbangan terhadap kerugian forex yang dinyatakan oleh jawatankuasa audit LCS tidak diendahkan.

Perubahan mata wang itu dilaksanakan pada 1 Nov 2013 - yang mengakibatkan kerugian bersih sebanyak RM13.49 juta pada hari itu sahaja disebabkan perbezaan dalam kadar mata wang.

Kerugian berpotensi lain untuk BHIC, menurut laporan audit itu, melibatkan penggunaan kit keluli pembinaan badan kapal daripada syarikat Belanda, IHC Metalix.

Audit menyatakan bahawa pesanan variasi tambahan bernilai RM4.58 juta dikeluarkan dengan memihak kepada sijil kilang IHC, walaupun kos sudah dimasukkan dalam sebut harga asal.

Audit menyatakan bahawa pasukan komersil projek LCS pada asalnya mengutamakan syarikat lain untuk membekalkan kit badan kapal, yang membuat tawaran yang lebih murah tetapi "canggih dari segi teknikal".

Bagaimanapun, pengarah projek LCS mengarahkan pasukan untuk berunding semula dengan IHC untuk melihat sama ada mereka boleh menyamai tawaran pesaing - satu arahan yang dibantah oleh ketua pasukan dan dialih keluar daripada projek.

Projek LCS ialah projek bernilai RM9 bilion yang bertujuan untuk membina enam kapal bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kapal pertama sepatutnya diterima pada 2019, tetapi sehingga kini, semua kapal masih belum disiapkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS