Beberapa hari sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan sabitan hukuman denda dan penjara Najib Razak, bekas perdana menteri itu sempat menulis luahan hati untuk mengatakan bahawa dia cuba untuk memimpin Malaysia dengan hati yang ikhlas dan memberikan rakyatnya yang terbaik.
Dalam 46 tahun dalam politik, Najib berkata dia telah melihat penganiayaan, kejam, bermusuhan, keikhlasan dibalas pengkhianatan dan penghinaan.
Melalui semua itu, dia berkata dia hanya boleh menjadi dirinya sendiri dan menjadi seorang lelaki yang gentleman (budiman).
“(Saya telah) memimpin Malaysia hampir 10 tahun. Ada yang kata naik tidak memijak lawan, jatuh tidak mengheret kawan.
“Mungkin dalam politik, anda tidak sepatutnya bersikap gentleman. Tetapi itulah keperibadian saya, bagaimana saya boleh menjadi seseorang yang bukan saya?
"Sepanjang masa ini saya hanya mahu berikan usaha terbaik saya.. Apa yang saya mahu lakukan ialah memberikan yang terbaik dan melakukan apa yang saya mampu,” tulisnya sebelum menyenaraikan pencapaiannya.
Bagaimanapun, dalam catatan bertarikh 22 Ogos itu, Najib tidak menyentuh secara khusus pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di mahkamah.
Tulisannya itu disiarkan di Facebook malam tadi tetapi bertarikh sehari sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalahnya dalam kes SRC International dan memasukkannya ke penjara.
Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan tambahan lima tahun jika tidak dapat membayar denda itu.
"Pada ketika mesej saya ini disiarkan, nasib saya sudah pun ditentukan.
"Saya mungkin tidak ada peluang lagi meluahkan isi hati kepada semua. Mungkin ini sahaja yang dapat saya tinggalkan," katanya pada awal catatan itu.
Pencapaian
Antara pencapaiannya, Najib berkata dia menyelia peningkatan dua kali ganda ekonomi Malaysia kepada RM1.4 trilion, selain memperbesarkan aset Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta rizab Petronas beberapa kali ganda.
Dia juga menyorot bantuan kepada rakyat melalui skim seperti Klinik 1Malaysia, Pusat Transformasi Bandar, dan pemindahan tunai terus untuk golongan miskin.
"(Saya) tidak pernah meninggalkan rakyat. Tidak mengapa jika tiada yang menghargai.
"Saya ikhlas memimpin Malaysia. I gave my best, I tried my best (Saya sudah cuba yang terbaik)," tulis Najib.
