mk-logo
Berita
Zahid gesa PRU15 segera, pengampunan diraja buat Najib
Diterbitkan:  Aug 27, 2022 9:51 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya pilihan raya umum diadakan segera dan menyokong kempen pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut Zahid desakan Umno supaya pilihan raya umum diadakan merupakan keputusan yang dibuat oleh seluruh kepimpinan parti dan tidak diputuskan secara bersendirian olehnya untuk menyelamatkan dirinya daripada kes mahkamahnya.

"Desakan supaya pilihan raya diadakan bukan isu yang baru. Ia bukan soal kita gilakan kuasa.

"Ia juga bukan soal kita gopoh, hingga ada yang menuduh sesama sendiri kononnya kita mahukan pilihan raya kerana gilakan jawatan dan gilakan kedudukan," katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Khas Presiden Umno di WTC, Kuala Lumpur hari ini.

"Kita konsisten menuntut pilihan raya diadakan kerana kita menghormati mandat rakyat.

"Kita mahu sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan mandat dan bukannnya melalui percaturan politik," katanya lagi.

Zahid berucap di hadapan ribuan ahli Umno bagi menjelaskan kepada ahli parti berhubung pemenjaraan Najib baru-baru ini.

Zahid berkata Umno telah menggesa pilihan raya umum diadakan sejak kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan pada Feb 2020 susulan Langkah Sheraton.

"Ketika kerajaan PH terbubar, semua daripada kita, tiada yang terkecuali senada mahukan pilihan raya diadakan. Kita perlu memulangkan semula mandat kepada rakyat.

"Pendirian kita konsisten sejak awal lagi. Jadi janganlah ada pula suara di antara kita sendiri, yang mula menuduh kita gopoh mahukan pilihan raya. Kita tegas dalam perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata walaupun perdana menteri sekarang Ismail Sabri Yaakob daripada Umno,namun kerajaan hari ini tidak boleh dipanggil kerajaan Umno atau BN kerana ia "kerajaan hibrid" yang didapati sukar untuk memastikan kestabilan negara.

Zahid juga menafikan sekeras-kerasnya dia mahu mempercepatkan pilihan raya umum ke-15 kerana takut disabitkan kesalahan dalam kes mahkamahnya.

Katanya, dia tidak bimbang tentang kesnya kerana walaupun Najib disabitkan kesalahan, Zahid berkata dia masih percaya badan kehakiman adalah bebas.

Zahid berkata bagi meneruskan perjuangan untuk Najib, ahli Umno perlu melakukan beberapa perkara, antaranya mesti menyokong kempen Nukilan Untuk Najib bertujuan memberi kata-kata semangat kepada bekas perdana menteri itu.

"Kita mesti bersedia, memberi sokongan kepada kempen petisyen pengampunan apabila tiba masanya. Kita serahkan kepada kebijaksanaan KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan melaksanakannya kelak.

"Menjadikan tulisan Facebook Datuk Seri Najib sebagai bacaan untuk kita terus "like dan share". Ia adalah senjata Umno dan perlu digilap dan digunakan sentiasa. Jadikan pemikiran dan semangat tulisan ini sebagai senjata hidup Umno untuk terus memerangi musuh-musuh politik kita.

"Bersedia menghadapi PRU bila-bila masa. Kemenangan besar Barisan Nasional adalah pengukuhan kepada obor-obor perjuangan Datuk Seri Najib untuk parti dan negara.

"Kami percaya, kerajaan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak akan membiarkan harapan ini pudar sekiranya tarikh PRU dilengahkan," kata Zahid lagi.

Lihat Komen
ADS