Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA: Kertas Putih Kesihatan mesti tangani isu kehamilan tak dirancang
Diterbitkan:  Aug 28, 2022 3:48 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mengikhtiraf isu kehamilan tidak dirancang sebagai komponen penting yang perlu ditangani dalam Kertas Putih Kesihatan yang dijangka dibentangkan pada November tahun ini, kata presidennya, Dr Koh Kar Chai.

"Ini adalah salah satu bidang yang kami rasa telah diabaikan. Sekarang Kertas Putih Kesihatan sedang dirangka untuk menggerakkan pelbagai pembaharuan yang diperlukan dalam sistem penjagaan kesihatan dan sudah tiba masanya untuk kerajaan menunjukkan komitmen yang lebih serius untuk menangani isu ini.

"MMA menyeru peningkatan penglibatan dengan pakar dan organisasi bukan kerajaan (NGO) ke arah pendekatan holistik untuk menangani isu rumit kehamilan tidak dirancang," kata Koh dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Koh berkata hampir separuh daripada semua kehamilan tidak dirancang berdasarkan laporan State of the World Population 2022 yang dikeluarkan oleh United Nation Population Fund (UNFPA) pada Mac tahun ini.

“Malaysia tidak terkecuali dan laporan itu memberi amaran bahawa krisis hak asasi manusia ini membawa kesan yang mendalam kepada masyarakat, wanita, kanak-kanak perempuan dan kesihatan global.

"Lebih 60 peratus kehamilan yang tidak dirancang berakhir dengan percubaan pengguguran sendiri yang berisiko di rumah dan juga penamatan kehamilan oleh kakitangan kesihatan yang tidak berkelayakan di fasiliti kesihatan tidak berdaftar," katanya.

Menurut Koh lagi, dianggarkan 45 peratus daripada semua percubaan pengguguran adalah tidak selamat serta menyebabkan lima ke 13 peratus daripada semua kematian ibu memberi kesan kepada keupayaan dunia untuk mencapai matlamat pembangunan mampan.

“Antara petunjuk yang digunakan untuk mengukur sistem kesihatan ialah kadar kelahiran mati, kadar kematian perinatal, kadar kematian neonatal dan juga nisbah kematian ibu.

"Walaupun kadar yang disebutkan di atas telah bertambah baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang dinyatakan dalam Fakta Kesihatan Malaysia 2021, terdapat keperluan untuk menurunkan lagi kadar tersebut," katanya.

Kata Koh, Kadar Kematian Ibu (MMR) ialah 24.9 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup dan meningkat secara sederhana sejak kebelakangan ini.

“Kadar ini penting kerana ia mengukur tahap pembangunan manusia dan sosial sesebuah negara. Ia juga menunjukkan kurangnya pemenuhan hak reproduktif wanita serta kurangnya responsif sistem terhadap keperluan wanita.

"Dua komponen terpenting yang boleh menurunkan MMR adalah penjagaan antenatal yang tidak mencukupi," kata Koh.

Kehamilan tidak dirancang boleh membawa kepada penjagaan antenatal yang lemah dengan peningkatan risiko kesihatan kepada ibu dan bayi dalam kandungan semasa kehamilan.

Punca-punca kehamilan yang tidak dirancang termasuk jenayah rogol terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur, sumbang mahram, seks sebelum kahwi dan lain-lain.

Ini merangkumi keseluruhan kumpulan umur reproduktif.

“Kami juga telah melihat bagaimana kehamilan tidak dirancang membawa kepada percubaan pengguguran sendiri yang berisiko di rumah dan juga penamatan kehamilan oleh kakitangan kesihatan yang tidak berkelayakan di fasiliti kesihatan tidak berdaftar.

“Tetapi menyayat hati ialah kes bayi yang baru lahir terbiar di dalam semak, tong sampah dan dibiarkan mati, selain dibunuh oleh ibu muda tanpa sokongan sosial,” katanya sambil menambah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti dan Kementerian Kesihatan perlu berkongsi tanggungjawab dalam menangani isu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS