Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir Pakistan: Lebih 1,000 maut setakat ini
Diterbitkan:  Aug 28, 2022 5:36 PM
Dikemaskini: 4:40 PM

GLOBAL | Banjir akibat hujan monsun yang merosakkan sebahagian besar Pakistan telah mengorbankan lebih 1,000 orang dan mencederakan serta menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal sejak Jun, kata pihak berkuasa.

Angka kematian baru itu berlaku sehari selepas perdana menteri, Shehbaz Sharif, meminta bantuan antarabangsa dalam menangani bencana banjir yang membawa maut.

"Magnitud bencana adalah lebih besar daripada yang dianggarkan," kata Shehbaz, melalui ciapan di Twitter, selepas melawat kawasan banjir.

Kerajaan telah mengisytiharkan darurat untuk menangani banjir monsun, yang bermula pada bulan Jun dan berterusan mendatangkan malapetaka di Pakistan.

Hujan Julai 200 peratus lebih taburan purata

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara dipetik The Guardian berkata pada hari Ahad bahawa 119 orang telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas ketika hujan lebat berterusan melanda beberapa bahagian negara itu.

Itu menjadikan angka kematian sejak pertengahan Jun kepada 1,033 dengan sekurang-kurangnya 1,456 cedera.

Laporan pihak berkuasa pada hari sebelumnya berkata 45 orang terbunuh dalam kejadian berkaitan banjir dari Jumaat hingga Sabtu.

Banyak kawasan di Pakistan terputus hubungan dan penyelamat sedang bergelut untuk memindahkan beribu-ribu orang yang terkandas dari kawasan yang dilanda banjir.

Wilayah Balochistan dan Sindh adalah kawasan yang paling teruk terjejas.

Hujan nasional pada Julai hampir 200 peratus melebihi taburan hujan purata, Sardar Sarfaraz, seorang pegawai kanan di pejabat meteorologi memberitahu Reuters pada hari Rabu.

Ini menjadikannya Julai paling banyak hujan sejak 1961.

Hujan monsun dan banjir di Pakistan telah menjejaskan lebih 33 juta orang sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Menteri Perubahan Iklim Pakistan Sherry Rehman menyifatkan keadaan itu sebagai "bencana kemanusiaan yang disebabkan oleh iklim dengan kadar epik."

"Nyawa terancam, ribuan kehilangan tempat tinggal. Rakan antarabangsa perlu menggerakkan bantuan," katanya pada ciapan di Twitter.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS