Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LCS: Laporan audit dedah perjanjian 'luar biasa' sebelum kontrak diberi

Dua audit yang dijalankan secara berasingan berhubung pembelian enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendedahkan bahawa kemungkinan terdapat perjanjian antara kontraktor utamanya dan pembuat kapal kontroversi, DCNS sebelum kerajaan mengeluarkan kontrak.

Ini berdasarkan sebut harga yang dikeluarkan oleh DCNS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) bertarikh 23 Disember 2010, setahun sebelum kerajaan Malaysia menganugerahkan kontrak LCS kepada BNS.

DCNS, kini dikenali sebagai Naval Group, ialah sebuah syarikat berpangkalan di Perancis yang membangunkan reka bentuk jenis Gowind untuk kapal tentera laut, yang merupakan reka bentuk yang diluluskan oleh Menteri Pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi walaupun mendapat bantahan daripada TLDM.

Ia juga merupakan syarikat sama yang menjadi subjek utama dalam pembelian kontroversi dua kapal selam jenis Scorpene oleh kerajaan pada tahun 2002.

Menurut laporan audit yang ditauliahkan oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), sebut harga yang dikeluarkan oleh DCNS adalah "luar biasa" dan menunjukkan bahawa perjanjian itu "ditetapkan terlebih dahulu" antara vendor dan "orang tertentu di BHIC/BNS yang menerajui proses membuat keputusan".

Penemuan yang sama juga dinyatakan dalam laporan audit yang disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara, Ambrin Buang.

Ia berkata terdapat kejanggalan dalam surat anugerah yang dikeluarkan kepada subkontraktor, Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) untuk enam Sistem Pengurusan Tempur LCS, di mana salah satu daripadanya dikeluarkan berdasarkan sebut harga oleh DCNS pada Disember 2010.

"Berhati-hati dengan tarikh berkenaan, yang dikeluarkan bahkan sebelum menandatangani LOA dengan kerajaan. Anda boleh bayangkan, kita memanggilnya 'niat'.

"Ini mencerminkan niat mereka yang terlibat dalam projek ini. Mereka tidak berhasrat untuk menyiapkan projek LCS. Mereka hanya mahu – niat untuk memaksimumkan keuntungan mereka yang telah dikeluarkan walaupun sebelum menandatangani LOA dengan Kerajaan Malaysia.

"LOA itu dikeluarkan oleh Anuar bin Murad, mengenepikan proses penilaian dengan menyekat penglibatan pasukan teknikal dan komersial. Sangat penting untuk diketengahkan," kata laporan itu.

Anuar Murad ialah Pengarah Program LCS BNS ketika itu. Dia ialah bekas Kapten TLDM, dan banyak disebut dalam kedua-dua laporan audit sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab untuk menyekat proses penilaian wajar dalam perolehan LCS, bersama bekas Panglima Tentera Laut Ahmad Ramli Mohd Nor, pengarah urusan BHIC ketika itu.

Ahmad Ramli didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah berhubung peranannya dalam skandal LCS.

Pengeluaran rekabentuk

Dilaporkan bahawa Kementerian Pertahanan pada mulanya telah meluluskan reka bentuk jenis Sigma untuk LCS pada 26 Mei 2011, sebelum menukarnya dua bulan kemudian kepada reka bentuk Gowind - yang bercanggah dengan kehendak TLDM.

Kapal Sigma ialah kapal tempur yang direka oleh syarikat kapal Belanda, Damen manakala kapal peronda Gowind direka oleh DCNS.

Audit yang ditugaskan oleh BHIC dan dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd, juga menunjukkan bahawa BNS telah membayar kira-kira RM90 juta sebagai bayaran mobilisasi untuk tiga sub-kontrak tanpa sebarang jaminan prestasi.

Jumlah itu ialah 10 peratus daripada tiga kerja yang dilaksanakan oleh DCNS, iaitu: 'Reka bentuk dan perkhidmatan berkaitan termasuk Pesanan Variasi sebanyak EURO3.9 juta'; 'Bantuan Pengurusan Program'; dan 'Perkhidmatan pelengkap untuk reka bentuk dan sokongan terperinci'.

"Kami mengambil perhatian bahawa DCNS telah dibayar mobilisasi kira-kira RM90 juta (10 peratus) untuk LOA yang disebutkan di atas tanpa memberikan jaminan bayaran pendahuluan atau jaminan prestasi. Berdasarkan dokumen yang diberikan kepada kami, kami mendapati bahawa mesyuarat awal tidak diadakan antara wakil DCNS dan BNS.

"Semasa kami menyemak ‘milestone’ pembayaran, kami tidak menemui sebarang bukti sokongan untuk mengesahkan bahawa ‘milestone’ telah dicapai di mana pembayaran dikeluarkan mengikut syor Anuar Murad dan kelulusan Ahmad Ramli Mohd Nor," menurut laporan Alliance IFA.

Kapal selam Scorpene

DCNS, sebelum ini dikenali sebagai Direction des Constructions Navales (DCN) sebelum menukar namanya kepada DCNS dan kini Naval Group, diketahui banyak terlibat dalam perolehan aset ketenteraan Malaysia terutamanya semasa Najib Razak menjadi menteri pertahanan dan kemudiannya perdana menteri.

Sebelum penglibatannya dalam kontrak LCS, Malaysia menandatangani perjanjian untuk membeli dua kapal selam Scorpene pada 2002, yang dikatakan satu bilion euro, daripada DCNS dan Navantia Sepanyol. Armaris, usaha sama antara DCN dan gergasi pertahanan dan elektronik Perancis Thales, menjadi kontraktor utama untuk penjualan itu.

Dikatakan bahawa RM540 juta telah dibayar sebagai "komisen" untuk perjanjian itu, dengan salah satu penerima adalah sebuah syarikat bernama Perimekar Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda dan pembayaran itu akhirnya menguntungkan Najib.

Ia juga diketahui kemudiannya bahawa sebagai tambahan kepada kos kapal selam dan bayaran "komisen" yang besar, di bawah syarat perjanjian asal kapal itu tidak mempunyai senjata dan alat pengesan.

Tentera Malaysia perlu membayar tambahan 130 juta euro untuk melengkapkannya.

Siasatan yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Perancis berusaha untuk menentukan sama ada Najib telah menerima sogokan melalui Abdul Razak, untuk kontrak Scorpene.

Pada Mac 2012, pihak berkuasa Perancis melantik dua majistret pemeriksa untuk menyiasat kes itu.

Mereka dikatakanmenemui bukti bahawa Najib selaku menteri pertahanan Najib ketika itu telah meminta AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk Perimekar daripada anak syarikat DCN DCNI.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS