Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata hadiah terbaik sempena Hari Kebangsaan ialah pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak yang tidak memiliki kewarganegaraan bagi membolehkan mereka meraikan hari bersejarah itu sebagai warganegara Malaysia.
Katanya, walaupun setelah 65 tahun merdeka, kerajaan masih enggan mengiktiraf golongan itu sebagai warganegara, menyebabkan mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan atau kemudahan kesihatan.
“Perkara mesti ini diubah untuk kanak-kanak ini. Untuk ini berlaku, kerajaan mesti menyemak cara mereka menilai permohonan kewarganegaraan dan memaklumkan pemohon sebab-sebab penolakan.
“Kita memerlukan prosedur operasi standard yang telus dan diperkemas untuk permohonan kewarganegaraan bagi mengurangkan hal yang tidak konsisten.
“Kanak-kanak ini sebahagiannya sudah dewasa dan mempunyai impian dan cita-cita. Tetapi bukan sahaja tidak dapat mencapai cita-cita mereka, malah mereka terdedah kepada penganiayaan, eksploitasi dan pemerdagangan manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
Dia juga meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan yang telah lama berlarutan di negara ini.

Untuk rekod, walaupun sesetengah individu, seperti Rohana Abdullah, 22, yang tidak memiliki kewarganegaraan cukup bernasib baik kerana mendapat perhatian daripada menteri dalam negeri, namun masih ramai menghadapi masalah serupa.
Antara mereka ialah “Bayi Merdeka” Muhammad Omar Mokhtar Mohd Roslan yang tidak mendapat kewarganegaraan pada usia 12 tahun.
Bapanya, Mohd Roslan Saad dan ibu saudaranya, Jamaliah Saad, pernah cuba memohon MyKid untuk Muhammad Omar, namun ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila status kewarganegaraan ibu kandungnya dipertikaikan.
Tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, Omar berkata dia tidak dapat mengejar cita-cita untuk menjadi guru walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan termasuk STPM.
