Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan kontraktor rumah agam barunya di Perth, Australia.
Menurut The Australian, kontraktor Maek Residences mendakwa kontrak perjanjian telah dilanggar.
Laporan itu berkata Sultan Ibrahim telah memfailkan tuntutan balas.
Maek mendakwa firma itu telah ditamatkan perkhidmatan sebagai kontraktor pada 2020.
"Maek mendakwa projek tertentu di hartanah itu, termasuk gold leaf, jubin kolam dan kerja-kerja audio visual, telah dikeluarkan secara tidak sah daripada skop kerjanya dan telah disiapkan oleh kontraktor lain," menurut laporan itu.
Tindakan undang-undang itu didedahkan selepas Ketua Hakim Australia Barat, Peter Quinlan mengarahkan pemeriksaan 29,000 dokumen berkaitan projek itu.
Tapak projek itu dilaporkan seluas 2,000 meter persegi menghadap Sungai Swan.
Sultan Johor membeli hartanah itu dengan harga A$8.5 juta (kira-kira RM26 juta) pada 2015.
"Rumah itu mempunyai enam bilik tidur utama dan lima bilik tidur lagi untuk kakitangan, serta dua kolam renang dan serangkaian kolam air terjun menuruni tebing ke arah sungai. Bahagian luarnya disaluti marmar yang digilap," baca laporan itu.
The Australian melaporkan hartanah itu tidak jauh dari kediaman beberapa individu terkenal di Perth seperti ahli perniagaan Kerry Stokes, individu terkaya Australia, Gina Rinehard dan taikun tembakau Indonesia, Michael Bambang Hartono.
