Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan cabar MIC tukar kerusi Tapah dengan Pulai
Diterbitkan:  Sep 5, 2022 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Seorang pemimpin Umno mencabar MIC untuk 'berkorban' dengan menyerahkan kepada Umno kerusi Tapah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebagai balasan kesediaan parti itu untuk menyerahkan kerusi Pulai.

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, dalam satu kenyataan, berkata pertukaran itu adalah satu pertukaran yang adil dan atas semangat kekeluargaan dalam BN memandangkan komposisi kaum kedua-dua kerusi parlimen berkenaan.

"MIC juga perlulah berkorban juga. Bila saya setuju beri laluan kepada MIC di Pulai, kita kenalah buat sistem barter trade. Saya dan Umno berkorban kerusi Pulai, MIC pun kenalah serahkan dan beri laluan kepada Umno bertanding di Tapah, yang majoriti pengundi Melayu besar di kerusi berkenaan. Barulah adil dan kena dengan semangat kekeluargaan dalam BN.

“Saya percaya jika calon Umno bertanding di kerusi Tapah, BN akan dapat kemenangan di parlimen kerana pengundi Melayu sekarang ini ada keyakinan tinggi terhadap keupayaan dan track record cemerlang. Jadi BN akan untung sebab mampu kekalkan kerusi Tapah dan MIC pun belum tentu dapat menang di Pulai,” kata Nur Jazlan.

Sebagai rekod, timbalan presiden MIC adalah parlimen Tapah semasa, manakala Nur Jazlan memegang kerusi Pulai selama tiga penggal sebelum digulingkan oleh Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pada pilihan raya umum 2018.

Perbalahan tercetus apabila Nur Jazlan menyelar MIC dan MCA bulan lalu, dengan berkata BN tidak boleh bergantung kepada kedua-dua parti itu untuk meraih sokongan bukan Melayu dan kedua-dua parti itu terlalu bergantung kepada Umno.

Kenyataan itu mengundang reaksi M Saravanan, yang menganggap Nur Jazlan sebagai seorang yang cepat melatah dan tidak sedarkan diri.

Nur Jazlan kemudiannya mencabar timbalan presiden MIC itu untuk bertanding di Pulai, tetapi cabaran itu baru-baru ini disahut oleh Ketua Penerangan MIC Johor S Deva.

Dalam kenyataannya hari ini, Nur Jazlan memuji keberanian Deva secara sukarela mahu bertanding di Pulai, tetapi mengingatkan bahawa ia adalah kerusi yang sukar kerusi sukar dan hanya “calon-calon heavyweight seperti presiden MIC atau timbalannya sahaja yang “boleh menang dan bukannya calon lightweight”.

“MIC tak boleh bawa budaya 'kerusi lipat' di Pulai macam mereka buat di tempat-tempat lain sebelum ini. Minta kerusi nak bertanding tapi kalah selepas itu 'lipat kerusi' tolak tepi dan minta lagi kerusi lain.

“Tapi jika MIC atau S Deva berhasrat juga nak bertanding di Pulai, mereka kenalah berunding dahulu dengan MCA sebab saya juga ada pelawa presiden MCA untuk jadi calon BN di Pulai. Ya lah, saya juga kena hormati dan beri muka kepada MCA kerana di Pulai ada 40 peratus pengundi Cina sedangkan pengundi India hanya 12 peratus.

“Jika MCA setuju beri laluan kepada MIC dan Presiden atau timbalan presiden MIC sendiri sanggup jadi calon, saya sedia membantu. Saya rela berkorban demi kepentingan rakan-rakan dalam BN,” sindirnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS