Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam: Tak salah Najib mohon semakan, pengampunan serentak

Tidak salah untuk bekas perdana menteri Najib Abdul Razak memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan kehakiman berhubung kes rasuah RM42 juta SRC International Sdn Bhd, sejurus selepas mendapatkan pengampunan diraja.

Peguam S Selvam berkata ini kerana pengampunan diraja dan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah dua perkara berasingan yang terletak di bawah bidang kuasa yang berbeza.

"Saya tidak nampak sebarang konflik (dalam memohon pengampunan diraja dan semakan semula keputusan secara serentak). Najib boleh berbuat demikian dan saya fikir mereka (pasukan peguamnya) tidak salah dalam apa yang mereka lakukan.

"Proses pengampunan diraja adalah perkara yang berasingan. Hukuman dan pelaksanaan sudah ada jadi agong boleh campur tangan.

"Pengampunan pada dasarnya adalah memohon kepada Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan," jelasnya kepada Malaysiakini.

Pihak pendakwaan, katanya, tidak boleh menggunakan pengampunan diraja sebagai alasan dalam proses penyerahan semasa permohonan kebenaran untuk semakan Mahkamah Persekutuan.

Pengampunan tak terhad kepada faktor undang-undang

Peguam New Sin Yew turut senada dengan Selvam, dengan mengatakan bahawa pengampunan diraja dan semakan kehakiman Mahkamah Persekutuan adalah tidak eksklusif.

"Ia adalah proses yang berasingan sama sekali. Apabila anda memohon pengampunan diraja, anda tidak terhad kepada faktor undang-undang. Ia boleh menjadi atas belas kasihan, ia boleh berlaku untuk perkara yang tidak boleh diterima di mahkamah, jadi ia tidak ada peraturan ketat dalam petisyen pengampunan.

"Ia tidak dikawal oleh mana-mana undang-undang, jadi pengampunan tidak boleh digunakan terhadap anda dalam proses semakan (di Mahkamah Persekutuan)," tambahnya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Najib boleh mendapatkan semakan terhadap sabitan dan hukumannya selepas mengemukakan petisyen pengampunan diraja.

"Adakah petisyen pengampunan Najib akan memberikan kesan kepada tindakannya untuk mendapatkan semakan kehakiman dari satu panel hakim baru Mahkamah Persekutuan mengenai penolakan rayuannya oleh Mahkamah Persekutuan dan/atau adakah permohonan semakan kehakiman ini akan memberikan kesan terhadap petisyen pengampunannya?

“Dengan dua tindakan Najib ini, persoalan undang-undang ini perlu diselesaikan oleh pihak berkuasa yang berkenaan," kata veteran DAP itu.

Tiada penangguhan hukuman

Sementara itu, Selvam berkata tiada cara bagi Mahkamah Persekutuan menangguh hukuman atas permohonan semakan berkenaan.

"Tidak. Tidak ada penangguhan. Dia perlu mendapatkan kebenaran (mahkamah terlebih dahulu)," katanya.

Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan bekas menteri kewangan itu untuk membatalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan jenayah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebagai ganti lima tahun tambahan dalam penjara.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Lihat Komen
ADS