Presiden PKR: Anwar perlu memohon pada ROS
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuat permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membolehkan beliau menjadi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jurucakap ROS berkata, pihaknya mempunyai kuasa mengikut Seksyen 9A (4) Akta Pertubuhan, untuk meneliti dan mempertimbang memberi pengecualian atau pengurangan tempoh larangan Anwar memegang jawatan politik.
Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara pada 14 April 1999 selepas didapati bersalah terhadap tuduhan salahguna kuasa. Beliau selesai menjalani hukuman tersebut pada bulan April 2003.
Manakala sabitan hukuman penjara bagi tuduhan berliwat terhadapnya telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada September 2004.
Bagaimanapun, jurucakap ROS itu memberitahu malaysiakini, pihaknya tidak mempunyai kuasa berhubung larangan Anwar tidak boleh bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun, sehingga April 2008.
"Sehingga ini, Datuk Seri Anwar belum membuat permohonan kepada ROS untuk mengurangkan tempoh hukuman yang dikenakan ke atas beliau itu," katanya.
Anwar yang kini Penasihat PKR telah dicalonkan oleh bahagian-bahagian parti itu sebagai presiden dalam Kongres Nasional yang akan diadakan di Seremban Mei depan.
Kehendak ahli
Ahad lalu, Badan Perhubungan PKR Selangor telah bersetuju sebulat suara untuk mencalonkan Anwar sebagai presiden, manakala Dr Syed Husin Ali dikelakan sebagai timbalan presiden.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata parti itu akan membuat rayuan kepada ROS untuk membolehkan Anwar memegang jawatan presiden parti tersebut.
Bagaimanapun, katanya, rayuan itu akan hanya dibuat setelah Anwar dilantik menjadi presiden parti itu.
"Pencalonan Datuk Seri Anwar sebagai Presiden PKR adalah atas kehendak ahli-ahli parti dan kami akan merayu untuk membolehkan beliau memegang jawatan tersebut," katanya.
Manakala peguam Anwar, Sankara Nair berkata, undang-undang menyatakan seseorang yang didakwa dan disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman penjara lebih daripada dua tahun atau denda lebih RM2,000, tidak boleh memegang jawatan dalam parti selama lima tahun selepas tarikh dibebaskan.
Bagaimanapun, katanya, ROS mempunyai kuasa untuk mengurangkan atau memansuhkan tempoh hukuman tersebut.
"Seksyen 9A (4) Akta Pertubuhan memberi kuasa kepada ROS untuk menentukan tempoh maksima lima tahun itu dikurangkan atau dimansuhkan sama sekali," katanya kepada malaysiakini.