Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis kecam ‘vandalisme’ lepas batu kubur bersejarah dijumpa di tempat sampah
Diterbitkan:  Sep 9, 2022 10:34 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

Aktivis warisan Khoo Salma Nasution mengecam tindakan “vandalisme" selepas serpihan batu daripada tapak perkuburan bersejarah yang dirobohkan minggu lalu dijumpai di tapak pelupusan sampah.

“Vandalisme yang paling teruk! Makam yang disifatkan sebagai ‘Taj Mahal Pulau Pinang’ akhirnya menjadi serpihan di tapak pelupusan di Jelutong,” katanya yang merujuk kepada runtuhan batu daripada makam berusia 138 tahun itu.

“Sebagai penjaga Tapak Warisan Dunia, dengan mempunyai tapak Unesco, adakah ini cara Pulau Pinang menjaga hasil warisannya? Tinggalan Madam Foo disimpan di Batu Gantang, iaitu batu-batu berukir di kuburnya berada di tapak pelupusan sampah Jelutong dan, mana pergi barang-barang kemasnya yang berharga?” soal Salma.

Dia berkata demikian dalam hantarannya di Facebook malam tadi dengan gambar yang dimuat naik menunjukkan kepingan batu nisan berukir terletak di tapak pelupusan sampah.

Kubur itu sebelum ini ditandakan sebagai tempat Foo Teng Nyong disemadikan, yang meninggal dunia pada usia 33 tahun semasa melahirkan anak pada tahun 1883.

Dia merupakan isteri ketiga kepada pengusaha perlombongan bijih timah abad ke-19 Chung Keng Quee, yang diiktiraf secara meluas sebagai pengasas dan pentadbir Taiping moden.

Walaupun terdapat usaha menggesa pemeliharaan kuburnya, tinggalan Foo telah digali dan kubur itu dirobohkan pada 29 Ogos.

Menurut Malay Mail, kubur itu pada mulanya adalah sebahagian daripada bahagian tapak pengebumian keluarga Chung di Gunung Erskine, tetapi tanah di mana kuburnya terletak bukan lagi di bawah keluarga Chung.

Pemilik tanah sekarang berhasrat untuk membangunkan tanah itu dan mengeluarkan notis penggalian kubur pada 16 Feb, menurut laporan itu.

Waris kepada Foo dan Chung, Jeffery Seow menggesa agar Majlis Warisan Pulau Pinang dan Pesuruhjaya Warisan Pulau Pinang Rosli Nor melindungi tapak tersebut.

Laporan itu berkata Rosli telah menghantar e-mel kepada Seow pada 23 Mei untuk memberi jaminan bahawa pemaju telah menangguhkan projek itu, untuk mempertimbangkan cadangan Majlis Warisan Pulau Pinang mengekalkan kubur itu di situ sebagai sebahagian daripada projek hijau di negeri itu.

Bagaimanapun, ia dilaporkan bahawa kubur itu telah dimusnahkan tanpa pengetahuan atau persetujuan Seow.

The New Straits Times melaporkan bahawa pangsapuri akan dibina di tapak tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS