Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia (Suhakam) yang baharu, Rahmat Mohamad berikrar akan mendesak agar laporan tahunan suruhanjaya itu dari 2020 hingga 2022 dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen tahun ini - selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) melarangnya pada tahun 2020.

Suhakam membentang laporan tahunannya untuk dibahaskan di Parlimen buat kali pertama pada Disember 2019, tetapi pada tahun berikutnya, kerajaan PN ketika itu berkata ia tidak bercadang untuk membenarkannya lagi.

“Saya rasa ia perlu dibentangkan. Saya secara peribadi merasakan isu-isu yang membimbangkan orang ramai secara amnya perlu dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

“Maksud saya isu seperti kematian dalam tahanan, keadaan atau keadaan daif infrastruktur dan kemudahan di penjara serta kem tahanan.

“Saya rasa ini adalah isu mendesak yang perlu dibahaskan,” kata Rahmat kepada Malaysiakini dalam satu wawancara di ibu pejabat Suhakam, baru-baru ini.

Dia berkata, membahaskan laporan tahunan Suhakam adalah peluang untuk kerajaan mengambil langkah pembetulan, seperti menyediakan lebih banyak peruntukan kepada agensi berkaitan untuk menambah baik kemudahan mereka.

“Kamu juga mesti faham bahawa bajet sangat terhad untuk kem tahanan polis, penjara dan imigresen.

“Jadi, mungkin kalau ini dibahaskan di Parlimen dan kalau perlu bagi peruntukan lebih untuk menambah baik kemudahan, di sinilah kita akan beritahu kerajaan kemudahan itu mesti ditambah baik,” katanya.

Suhakam sedang menyiapkan laporan tahunan 2022, kata Rahmat sambil menambah dia juga sedar bahawa suruhanjaya itu masih belum menyerahkan laporan tahunannya kepada Parlimen sejak dua tahun lalu.

Semua laporan ini akan dikemukakan, ikrarnya, kerana ia adalah keperluan berkanun di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

Bagaimanapun, akta tersebut tidak menyatakan secara khusus bahawa laporan berkenaan perlu dibahaskan di Parlimen.

Di bawah akta tersebut, peranan Suhakam, antara lain adalah sebagai badan berkanun bebas yang memberikan nasihat dan syor kepada kerajaan mengenai isu hak asasi manusia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS