Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Benarkah tak perlu bimbang dengan prestasi ringgit?

ULASAN | Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, menyatakan kita tidak perlu bimbang dengan prestasi ringgit, walaupun ringgit Malaysia jatuh berbanding dolar AS hingga melepasi paras RM4.50.

Ia adalah kadar sebegitu buat kali pertama sejak krisis kewangan Asia melanda pada 1998.

Katanya lagi, kita perlu tumpu kepada ekonomi.

Pada saya kenyataan ini mengarut. Bagaimana ekonomi hendak naik jika nilai ringgit rendah dan terus jatuh? Tidak tahukah kita bahawa nilai ringgit yang lemah memberi kesan kepada kuasa beli rakyat?

Nilai ringgit yang rendah itu tandanya ekonomi kita lemah.

Kita perlu telus memberitahu rakyat tentang kedudukan ekonomi kita. Rakyat biasa boleh merasakan harga barang keperluan harian naik meroket, tetapi kerajaan mengumumkan kadar inflasi kita 4.4 peratus setakat Julai lalu.

Mungkin data kerajaan betul dari segi angka, tetapi tidak realitinya.

Sangat bergantung pada dolar AS

Rakyat kampung pun boleh merasakan hal ini. Sekarang harga minyak masak, telur, gandum dan barang keperluan harian naik berganda-ganda. Adakah boleh kita kata inflasi negara pada kadar 4.4 peratus?

Menteri kewangan juga berkata kita tidak tumpu pada prestasi ringgit kerana fokus kerajaan ialah pada ekonomi jangka pendek dan panjang.

Pertanyaan saya ialah: bolehkah kita abaikan nilai ringgit dengan hanya memfokuskan kepada prestasi ekonomi? Jika ekonomi tidak berkait dengan kos barangan dan perkhidmatan, kos import dan eksport, dan inflasi, ilmu ekonomi apakah yang kita pakai?

Tidak tahukah menteri bahawa 80 peratus daripada perdagangan dan pinjaman kita adalah menggunakan dolar AS. Jika dolar meningkat, ini tentunya memberi kesan kepada ekonomi kita. Apatah lagi, misalnya, barangan makanan kita banyak yang diimport.

Kita memperolehi ringgit tetapi berbelanja dalam dolar AS. Itulah namanya inflasi yang diimport. Rezab luar kita juga dalam dolar AS. Kita tidak boleh elak dolar AS melainkan kita mengambil langkah de-dollarization (penggantian mata wang asing) seperti yang cuba dibuat China, Rusia, India dan Iran.

Itu pun masih jauh perjalanannya.

Saya perturunkan rizab luar (dalam bilion) beberapa negara mengikut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sehingga 26 Ogos 2022.

i. China: AS$3,576.63
ii. Jepun: AS$1,430.53
iii. Switzerland: AS$1,101.38
iv. India: AS$633.83
vii. Korea Selatan: AS$461.77
viii. Singapura: AS$426.63

Sementara itu nilai rizal luar Malaysia pula dianggarkan sebanyak AS$108 bilion yang bersamaan kira-kira lima atau enam bulan nilai import.

Saya perturunkan pula data ringkas tentang hutang negara.

Hurang kerajaan ialah sebanyak RM1 trilion selain RM200 bilion dalam liabiliti luar jangka (pinjaman terjamin) serta RM200 billion PFI (inisiatif kewangan swasta) Jumlah tanggungan ialah RM1.4 trilion.

Gambar hiasan

Di sana juga ada hutang korporat tetapi ia bukanlah sebahagian daripada hutang negara.

Hutang isi rumah menghimpit rakyat kerana pendapatan tidak berganjak, sedangkan kos sara hidup terus meningkat. Jadi ini yang membuatkan rakyat resah.

Pertanyaannya, apa yang boleh diharapkan jika hutang negara ini melebihi RM1 trilion? Pelabur mana yang berminat untuk melabur di sini?

Apakah ini kita masih tidak perlu peduli kepada prestasi nilai ringgit?

Permintaan saya mudah: elakkan daripada memberi kenyataan meragukan kepada rakyat Malaysia yang ignorant!


MOHAMMAD AGUS YUSOFF ialah penganalisis politik dan bekas ahli akademik yang bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS