Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tentera dan Mindef beri tarikh bercanggah penghantaran LCS
Diterbitkan:  Sep 15, 2022 12:36 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

(Nota editor: Tambahan perenggan 13 yang dimasukkan sebaik menerima ulasan daripada pejabat menteri pertahanan. Perenggan 4 dipinda untuk menggambarkan perkembangan terkini itu.)


Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi tarikh yang bercanggah mengenai penjadualan penghantaran kapal tempur pesisir (LCS) kepada tentera laut.

Semasa temu bual dengan beberapa organisasi media pada Selasa lalu, panglima angkatan tentera Affendi Buang berkata lima daripada enam LCS itu dijadualkan untuk penghantaran pada Jan 2026, Sept 2026, Mei 2027, Jan 2028 dan Sept 2028.

Walau bagaimanapun, beberapa organisasi berita utama menarik semula laporan versi dalam talian mereka berhubung wawancara dengan Affendi.

Laporan Bernama TV yang memetik perkara yang sama masih boleh diakses di laman YouTube apabila artikel ini mula-mula diterbitkan hari ini. Namun ia dikeluarkan tidak lama kemudian.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pejabat Affendi untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu.

Garis masa yang diberikan oleh Affendi berbeza daripada yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bulan lalu.

Pada 6 Ogos, Hishammuddin memberitahu Dewan Negara bahawa LCS pertama akan diterima "dalam dua tahun" lagi.

Ketika disoal oleh pemberita pada 17 Ogos, Hishammuddin tidak mendedahkan garis masa untuk lima LCS yang lain.

Menurut Bernama, Hishammuddin memberitahu pemberita semalam bahawa garis masa itu tidak berubah.

"Kita berpegang kepada apa yang kita umumkan sebelum ini. Kami semua setuju PAT (Panglima Angkatan Tentera), PTL (Panglima Tentera Laut), Mindef (Kementerian Pertahanan), Boustead, Kementerian Kewangan sehinggalah kepada Kabinet.

“Maka kita punya garis masa daripada dulu lagi pertama untuk meyakinkan pada orang ramai bahawa projek LCS ini mesti diteruskan.

“Keduanya kita tidak akan melindungi sesiapa yang bersalah jika ada salah guna dan penyelewengan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Seorang pegawai kanan dari pejabat menteri pertahanan memberitahu Malaysiakini bahawa garis masa angkatan tentera untuk menyerahkan LCS itu yang dinyatakan pada hari Selasa lalu telah "ditarik balik".

Malaysiakini juga sedang cuba mengesahkan perkara ini dengan pihak angkatan tentera.

Penghantaran LCS itu menjadi satu titik hitam bagi Hishammuddin.

Pada 2017, dia menghantar ciapan "selamat datang" untuk menyambut LCS pertama, yang sehingga laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) diterbitkan pada Ogos tahun ini, hanya 44 peratus siap.

PAC telah menyiasat projek LCS, dan seterusnya menimbulkan persoalan tentang keadaan di sebalik pemberian kontrak, serta mendedahkan bahawa semua kapal adalah jauh daripada jadual yang ia sepatutnya disiapkan. Keraguan juga timbul tentang keupayaan kontraktor untuk menyiapkan kapal-kapal itu.

PAC juga telah mengesyorkan agar SPRM mengambil tindakan pendakwaan berdasarkan laporan PAC, laporan jawatankuasa siasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan kerajaan (JKSTUPKK) serta laporan firma audit forensik swasta mengenai projek itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS