Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Tarikh bubar parlimen akan diumum tak lama lagi

Tarikh pembubaran parlimen akan diumumkan tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Berucap merasmikan majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa hari ini, Ismail berkata perkara itu akan dibincangkan dengan lima pucuk pimpinan Umno dalam masa terdekat.

"Bila tarikhnya? Saya dengan presiden (Umno) akan menentukan. Tetapi percayalah, sikit lagi, tak lama lagi.

"Yang penting apabila parlimen dibubarkan, PRU diadakan, kita mesti menang. Itu paling penting," katanya disambut laungan 'bubar' daripada mereka yang hadir.

Sementara itu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan PRU perlu diadakan pada tahun ini.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata parti itu tidak akan mempunyai sebarang isu dengan perdana menteri, selagi PRU diadakan tahun ini.

"Penganjur sengaja letakkan saya di sebelah PM. Mereka tengok body language saya. Chemistry saya dan beliau tetap utuh

"Ribuan perhatikan kami sekarang ini,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Ismail menghadapi tekanan daripada dalam Umno terutama daripada presidennya untuk membubarkan parlimen.

‘Jangan bincang lagi’

Ahmad Zahid menegaskan dalam ucapannya bahawa isyarat "kuat dan jelas" bahawa sekarang adalah masa sesuai untuk mengadakan PRU.

Top five (lima pemimpin teratas Umno) telah diberi mandat.

"Kita dah bincang beberapa kali, tarikh belum ditentukan lagi. Jangan bincang lagi kita teruskan," katanya.

Pertemuan lima pemimpin tertinggi Umno pada awalnya ditetapkan hari ini (17 Sept), namun ditangguhkan ke 30 Sept.

Pertemuan itu dijangka membincangkan tarikh PRU15.

Lihat Komen
ADS