Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau PM bubar masa banjir pun kita sanggup redah'

BN sedia meredah banjir mahupun hujan lebat jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini, kata Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi

Jelasnya, isyarat daripada akar umbi yang mahukan PRU diadakan tahun ini adalah jelas dan nyata termasuk lauangan "bubar" oleh lebih 10,000 Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, hari ini.

"Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut.

"Tetapi, kalau perdana menteri bubar masa banjir pun, (kita) sanggup redah banjir untuk bertanding," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa.

Hadir sama Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno dan Ketua Pemuda BN, Asyraf Wajdi Dusuki.

Pelancaran jenteran Pemuda BN turut disiarkan secara langsung di Facebook BN.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU ke-15 dilaksanakan pada pertengahan November, kemungkinan bakal berdepan banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Sementara itu Ismail Sabri pula menegaskan bahawa tarikh PRU15 akan dibincang bersama "top five" Umno.

Umno sebelum ini mendesak supaya PRU diadakan segera pada tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap dengan isyarat jelas akar umbi, perdana menteri dapat menentukan tarikh pembubaran parlimen dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid berkata PRU tidak boleh dibiarkan lama untuk diadakan kerana memberi ruang kepada penghasut untuk menyerang Umno.

“Isyaratnya adalah jelas dan nyata…’top five’ diberikan mandat untuk berbincang... tetapi tarikh belum ditetapkan.

“Jangan bincang saja…kena cepat. Jangan tunggu lama-lama kerana penghasut sedang bekerja keras.

"PRU ke- 15 tidak boleh ditunggu-tunggu lagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS