Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Semoga anak kami mangsa terakhir mati kerana sindiket penipuan kerja'

Ibu bapa Goi Zhen Feng melalui beberapa bulan yang sukar dengan harapan anak mereka hidup dan selamat apabila mereka ke Thailand pada 30 Ogos.

Pasangan itu telah tiba di Bangkok, menyangka bahawa anak mereka sedang menerima rawatan di Hospital Mae Sot, tetapi dimaklumkan bahawa dia telah meninggal dunia pada 11 Mei.

Zhen Feng dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

Kini, Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun merayu agar kerajaan Malaysia membawa pulang mangsa penipuan lain sebelum terlambat.

“Saya berharap kerajaan menyelamatkan mangsa (penipuan) lain di Myanmar dan Kemboja kerana ini bukan sahaja melibatkan kesakitan peribadi mangsa, tetapi ibu bapa dan keluarga mereka.

“Mereka (keluarga) berasa sakit hati, panik dan tekanan mental. Detik yang berlalu terasa seperti bertahun-tahun. Setiap kali saya memikirkan kesengsaraan keluarga, air mata saya secara automatik mengalir.

“Saya harap kerajaan selamatkan mereka, biarlah mangsa bersatu semula dengan keluarga mereka.

"Saya harap anak saya adalah mangsa pertama dan terakhir rakyat Malaysia yang mati akibat penipuan ini," kata Chee Kong dalam satu sidang media hari ini.

Abu mayat Zhen Feng diawa pulang ke Malaysia pada 16 Sept, selepas dibakar di Kuil Hin Kong di Si Racha, kira-kira 120km tenggara Bangkok.

Chee Kong berkata, lelaki berusia 23 tahun itu telah meninggalkan rumahnya di Ipoh pada 19 Jan untuk melawat teman wanita dalam taliannya, dengan janji untuk kembali pada awal Februari. Dia tidak mengalami komplikasi kesihatan sebelum pemergiannya.

Pada 2 September, keluarga mangsa terpaksa mengumpul dana untuk membayar bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum mereka mendapat sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA, membakar mayat dan membawa abu mangsa pulang ke Ipoh.

Dilaporkan bahawa mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital di mana dia meninggal dunia (pada 11 Mei). Mayatnya dikebumikan di tanah perkuburan Si Racha di wilayah Chonburi dengan nama palsu, dengan keluarganya tidak mengetahui tentang keberadaannya.

Panggilan terakhir mereka dengan Zhen Feng adalah pada 31 Mac, di mana dia berkata dia berada di hospital Mae Sot dan meminta RM80,000 untuk rawatan perubatan.

“Ketika dalam panggilan, dia berkata seseorang sedang mengawasi panggilan itu. Dia tidak bercakap dengan cara biasa,” kata Chee Kong.

Dilaporkan bahawa mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital di mana dia meninggal dunia (pada 11 Mei). Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Si Racha di wilayah Chonburi dengan nama palsu, dengan keluarganya tidak mengetahui keberadaannya.

Menurut Adun Teruntum Sim Chon Siang, Zhen Feng masih dianggap sebagai orang yang masih hidup di Malaysia.

Katanya, pihak keluarga akan membuat laporan polis tidak lama lagi untuk mendaftar kematiannya.

Sementara itu, Sim dalam misi untuk membawa "ejen" dalam sindiket itu ke muka keadilan.

Dia mendakwa beberapa ejen ini secara peribadi telah menjadi mangsa sindiket, yang kemudiannya kembali ke Malaysia untuk merekrut orang lain ke dalam penipuan itu.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ms B membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Kuantan semalam.

Menurut salinan laporan yang dilihat oleh Malaysiakini, Ms B telah pergi ke Thailand pada bulan Mac selepas ditawarkan pekerjaan.

Bagaimanapun, dia dikatakan dibawa ke KK Park di Myawaddy, Myanmar, yang didakwanya dikawal ketat oleh tentera. KK Park adalah lokasi yang didakwa terkenal dengan sindiket penipuan pekerjaan.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu kemudiannya terpaksa bekerja sebagai “penipu” selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia pada 16 Ogos.

Lihat Komen
ADS