Paling Popular
Terkini
1

PULASAN | Seorang kenalan menyatakan rasa lega, walaupun - katanya - disedari dia dan keluarganya tidak lagi boleh mengutip pahala sabar seperti dilakukannya dengan tenang hampir seminggu lalu.

Dia menceritakan bagaimana mereka mengutip pahala sabar dengan penuh sayu. Dalam tempoh setahun tidak dapat dikira berapa kali kawasan perumahannya mengalami masalah bekalan air.

Dua tiga jam sehari, dua tiga hari seminggu, berminggu berturut-turut dalam sebulan, demikianlah adanya.

Taman perumahan itu diberi nama indah sekali. Tidak cukup dengan itu, ia juga diteduhkan dengan nama Islami. Ia bukanlah aneh kerana kawasan petempatan tersebut dibangunkan oleh kerajaan negeri.

Cukup bertuah dia dan kejiranan sekalian rakyat boleh mendiami taman perumahan berkenaan. Katanya rumah itu kediaman edisi terhad dan hanya mereka yang bertuah sahaja dipilih sebagai pembeli.

Kawan itu menyatakan rasa bangganya tinggal di Kelantan, disediakan rumah untuk rakyat miliki. Katanya lagi, Kelantan terkenal dengan barisan kepimpinan yang hebat-hebat belaka latar belakang agamanya.

Kehebatan pemimpin itu, tambah kawan saya, akan lebih terserlah jika mereka diberi mikrofon dan berceramah. Pedulilah apa isu sekalipun, mereka akan nampak sangat hebat.

Sabar itu indah

Sudah lebih 30 tahun kehebatan Kelantan terserlah begitu. Mungkin sama lamanya tempoh kehebatan ujian dan takdir buat penduduk Kelantan ketika mereka memerlukan air yang bersih.

Beruntunglah jika ada mana-mana penduduk yang boleh menumpang kasih di rumah orang lain - termasuk jiran - untuk mendapatkan air yang layak. Itu pun satu lagi nikmat pahala.

Apa yang dipaparkan ini bukan sebuah kisah derita, tapi kisah indahnya pembangunan yang diacu selari dengan hal ehwal agama.

Ketika menyiapkan tulisan ini, saya dimaklumkan paip-paip di kawasan perumahan tersebut kembali basah dengan air selepas hampir seminggu ia dibiarkan berehat.

Katanya, memang ramai jiran yang merungut, tetapi mereka tidak berani mengeluh berlebihan kerana kebanyakan mereka adalah kakitangan kerajaan negeri.

Malah ada antara penduduk terbabit mencari makan dengan anak syarikat kerajaan yang membangunkan taman perumahan berkenaan.

Lebih ditakuti, jika meluahkan kemarahan, bimbang nanti dituduh tidak tahu bersyukur pula.

Dalam keadaan begitu penulis teringat kata-kata pujangga yang menegaskan betapa sabar itu indah. Sebak dan sayu rasa dihati ini.

Petempatan yang mereka diami sejak beberapa tahun lalu itu sebelum ini dirasmikan dengan penuh meriah oleh menteri besar Kelantan.

Untuk beli sabun

Takdirnya kawasan perumahan berkenaan sering diuji dengan masalah terputus bekalan air, selain terdedah banjir - atau tepatnya banjir kilat. Setiap kali banjir terjadi, berderet-deret kereta agensi kerajaan datang menjenguk sebelum berlalu pergi.

Tidak dapat dipastikan apa yang mereka buat di situ. Tapi rasanya takkan mereka datang cuma untuk membawa pelatih atau pelajar yang membuat latihan industri untuk bersiar-siar saja.

Kata kawan saya itu, penduduk berasa sayu sangat melihat mereka bersusah-susah datang menjenguk sistem perparitan yang gagal menampung curahan air - bersama lumpur - lalu melimpah ke ruang rumah.

Entah sudah berapa kali penduduk di situ melalui takdir berkenaan bersama kerosakan barangan rumah.

Hati penduduk taman perumahan itu juga dikatakan tersentuh apabila ada exco kerajaan negeri datang menjenguk kejadian banjir di perumahan mereka selepas dilaporkan media. Tidak hanya itu, exco berkenaan juga sangat bermurah hari menghulurkan RM50.

"Buat untuk beli sabun," katanya.

Lagilah mereka rasa sayu dan sebak!

Untuk menghilangkan rasa sayu dan sebak itu, saya menasihatkan kawasan berkenaan agar terus bertabah. Hal itu kerana masalah terputus bekalan air dan banjir itu bukanlah berlaku setahun sekali seperti isu kesesakan jalan raya Kelantan semasa musim raya.

Rakyat Kelantan yang merantau pastinya tidak tahu kebahagiaan penghuni negeri yang selalu berasa teruja untuk meraikan hari tanpa air bersih atau dilanda banjir.

Sesetengah perantau itu juga hanya menjenguk negeri mereka empat atau lima tahun sekali bagi memastikan parti Islam tekal mentadbir dengan acuan mereka.

Penduduk Kelantan sangat penyabar

Selepas memangkah, mereka akan kembali meneruskan hidup seperti biasa di negeri lain di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor yang lebih teruk lagi masalah air dan banjirnya.

Menurut rakan tadi, kedatangan mereka ke kawasan perumahan itu memang cepat disambut oleh banjir. Masalah air melimpah sudah berlaku pada tahun pertama mereka di situ.

Tidak banyak pun kerosakan yang berlaku. Permaidaini yang tidak sempat kotor itu rosak, manakala kabinet dapur, pintu dan barang-barang lain saja yang musnah.

Kemudian mereka pun bersabar sajalah, sebab anak Kelantan yang merantau di luar Kelantan lagi teruk diuji. Masalah air mereka barangkali 1,001 kali ganda lebih teruk berbanding Kelantan.

Lalu kawan saya dan kejiranannya pun terus bersabar sambil kadang-kadang membelek Facebook syarikat air yang meletakkan matlamat menjadi pengendali bertaraf dunia di negeri Serambi Mekah ini.

Sebagai penghuni di taman perumahan di lembah keimanan itu, mereka kenalah terus bersabar. Seperti pesanan pemimpin kerajaan negeri, ketika kita berdepan ujian, kita kutiplah pahala sabar.

Sayu rasa apabila mengenangkan mereka pun mahu masuk syurga juga.

Walaupun rumah sering terputus bekalan air dan terdedah banjir (sebelum beli, kawasan itu dikatakan bebas banjir), tapi mereka pun nak masuk syurga juga.

Tulisan ini pula sekadar mahu maklum kepada sesiapa yang tidak tahu bahawa kawan saya dan penduduk di Kelantan sangat penyabar. Hampir seminggu ketiadaan air, mereka mengutip pahala sabar sambil tumpang berhadas di rumah orang.

Oh, alangkah indahnya sabar.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini berpangkalan di Kelantan yang sentiasa sabar mendengar keluhan mengenai masalah air negeri itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
1
ADS