Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR mungkin bariskan pemimpin utama depani 'pengkhianat'

WAWANCARA | PKR muncul sebagai parti terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) apabila keputusan pilihan raya umum (PRU) 2018 diumumkan. Ia membuka laluan kepada Anwar Ibrahim - yang ketika itu masih dipenjara - untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir Mohamad terus menerajui kerajaan PH selama hampir dua tahun. Rancangan untuk menyaksikan Anwar menggantinya tergendala apabila ahli parlimen Langkawi itu cuba membentuk kerajaan perpaduan dan kemudian meletak jawatan pada 2020.

Anggota parlimen PKR yang berpaling tadah turut membantu menjerumuskan Malaysia ke dalam kemelut politik yang lebih teruk dalam episod yang digelar sebagai "Langkah Sheraton".

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Anwar memberitahu, dia tidak mahu terperangkap dalam kenangan pahit masa lalu. Bagaimanapun, kata presiden PKR itu, pihaknya juga merancang untuk membalas dendam terhadap “pengkhianat” terbabit.

“Kita tidak seharusnya diperangkap dengan masa lalu. Kita (kerajaan PH) ada kejayaan, tetapi ada juga kegagalan.

“Hakikatnya, mengenai kebebasan kehakiman, pendakwaan terpilih dan juga peranan peguam negara, terdapat situasi yang boleh dipersoalkan dan beberapa kritikan (terhadap) beberapa orang dalam PH.

“Tetapi kita harus terus melangkah. Pada fikiran saya, kami mendasarkan (perjuangan kami) pada prinsip asas dan nilai asas seperti keadilan,” katanya.

Anwar berkata PKR telah menerima maklum balas yang baik daripada pengundi dalam siri jelajahnya baru-baru ini termasuk di kawasan seperti Gombak yang diwakili bekas timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

“Kita tidak boleh menyalahkan orang awam kerana bersikap kritis, sinis atau kecewa dengan Langkah Sheraton. Kita perlu memberitahu mereka bahawa pesalah harus dihukum.

"Saya sangat bersyukur. Sejak beberapa bulan lalu, terutamanya selepas (acara PKR di) Gombak, Kuala Pilah dan Port Dickson, dan program (Timbalan Presiden PKR) Rafizi (Ramli) di Johor, anda boleh lihat keghairahan dan keterujaannya,” kata Anwar.

Dia yang kini menjadi ahli parlimen Port Dickson berkata PKR sedang mempertimbangkan secara serius pemimpin utama parti itu untuk dipilih bagi berdepan dengan pihak terbabit.

Ada isu perlu ditangani

Antara nama yang disasarkan untuk didepani ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin (Ampang), Menteri Luar Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), dan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu (Segamat).

Sementara itu musuh lama Anwar, Mahathir, masih belum meninggalkan arena politik dan kini sedang cuba menyatukan pakatan membabitkan semua orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, ramai penyokong PH mengakui keengganan Mahathir untuk menyerahkan kuasa seperti yang dipersetujui lebih awal adalah pencetus kejatuhan kerajaan lalu.

Keadaan itu menurut Anwar, menjadikan mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan bekas perdana menteri dua kali itu lagi.

“Dalam pembangkang, kami telah memutuskan untuk memberi tumpuan kepada PH, dan pada rundingan kerusi, dasar, rangka kerja, dan lain-lain.

“Saya fikir jika kita meneruskan idea bekerjasama dengan Mahathir sekali lagi, rakyat akan menjadi kritikal: apakah sebabnya? Adakah kepentingan politik semata-mata yang anda fikir anda hanya boleh menang dengan bekerja dengan mereka?” katanya.

Dia juga menjelaskan terdapat isu perbalahan yang perlu ditangani, termasuk pendekatan politik berasaskan kaum oleh Mahathir.

“Mereka bercakap tentang perpaduan Melayu, atau parti berasaskan Melayu, atau agenda Melayu, yang saya persoalkan.

“Saya katakan kebimbangan orang Melayu juga menjadi kebimbangan kita, tetapi kita perlu mengatasinya dan menangani isu teras yang memberi kesan kepada orang Melayu, iaitu kemiskinan, peminggiran dan ketidaksamaan.

“Agenda Melayu telah dirampas oleh golongan elit yang korup.

“Pada masa yang sama, kita mempunyai demokrasi yang matang di negara ini dan kita perlu menerima konsep ini, keterangkuman nasib miskin Cina, India, Sarawak dan Sabah. Itulah masa depan.

"Dan saya tidak fikir kita harus meminta maaf jika kita bekerja berdasarkan nilai dan agenda bersama untuk negara,” katanya.

Dalam temu bual dijalankan di Petaling Jaya itu, Anwar juga memberitahu wawasan progresif yang dibawa itu terpisah daripada sentimen Melayu yang kini dilihat didominasi politik Umno dan PAS.

“Itulah yang mereka katakan enam dekad lalu apabila Onn Jaafar membicarakan idea identiti Melayu.

“Selepas 60 tahun, kita perlu bekerja keras kerana, jika kita mempunyai pemimpin yang lemah yang mengorbankan nilai teras, kemanusiaan dan jaminan perlembagaan ini, maka kita tidak akan maju atau berjaya.

“Saya optimis sebab andaian bahawa orang Melayu tidak bersama kita adalah tidak sepenuhnya benar.

"Contohnya, Kangar mempunyai 58 peratus Melayu dan Kuala Kedah 80 peratus Melayu. Dan kami menang dengan selesa," katanya.

[Baca berita asal]


Laporan oleh Martin Vengadesan, Alyaa Alhadjri, Raveena Nagotra and Ng Xiang Yi.

Lihat Komen
ADS