Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga lapor polis dakwaan layanan istimewa terhadap Najib

Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis berhubung dakwaan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak diberi layanan istimewa ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Syeikh Fahmi Syeikh Jaafar membuat laporan polis itu di Balai Polis Petaling Jaya, hari ini.

Dalam laporan berkenaan, Syeikh Fahmi berkata dia terbaca satu hantaran di Twitter bertajuk 'Najib tipu sakit' yang mendakwa bekas perdana menteri itu diberikan satu kod nama istimewa 'merpati' serta diberi layanan berbeza berbanding banduan lain.

Justeru dia menyifatkan layanan istimewa tersebut sebagai ‘konspirasi jahat’ dan menggesa pihak polis menyiasat mereka yang terlibat.

"Najib Razak yang merupakan seorang banduan tidak sepatutnya dibelanjakan dana kerajaan dengan sebegitu banyak jika ia (dakwaan tersebut) benar.

"Konspirasi jahat untuk memberikan layanan istimewa kepada Najib Razak ini jelas menunjukkan wujud elemen salahguna kuasa dan pecah amanah dalam tugasan oleh pihak atasan termasuk perdana menteri, menteri kesihatan, pengarah kementerian kesihatan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, pihak penjara dan beberapa pihak lain yang perlu disiasat oleh pihak polis yang turut sama terlibat dalam pengkhianatan tugas dan amanah kepada rakyat dan negara," katanya dalam laporan tersebut.

Antara lain, mesej di Twitter itu mendakwa sel Najib di kompleks Penjara Kajang telah diubah suai dan ada rancangan untuk memindahkannya ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi membolehkan lebih banyak akses kepada pelawat dan kemudahan VVIP.

Syeikh Fahmi ditemani setiausaha peguam Pejuang, Akif Rusli, timbalan ketua peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali dan peguam Muhammad Fakhruddin Nasraldin ketika membuat laporan berkenaan.

Dalam pada itu, Sheikh Fahmi berkata siasatan perlu dijalankan terhadap pihak yang terlibat dalam memberikan layanan istimewa tersebut dan bukan individu yang mendedahkan perkara itu.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Dia dihantar ke Hospital Kuaal Lumpur (HKL) dua minggu lalu atas alasan berkaitan masalah perut - yang menurut keluarganya disebabkan tekanan.

Bekas perdana menteri itu kemudiannya dibenarkan keluar tetapi dimasukkan semula ke HKL minggu lalu selepas sekali lagi mengadu sakit, kali ini akibat masalah tekanan darah, sebelum dipindahkan ke HRC.

Dalam satu kenyataan hari ini, HRC menjelaskan Najib kini dalam keadaan baik dan telah diberikan perlepasan perubatan bagi membenarkannya dihantar semula ke Penjara Kajang.

Lihat Komen
ADS