Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lantanida bukan radioaktif tapi perlombongannya boleh sebabkan radioaktiviti'
Diterbitkan:  Sep 30, 2022 8:32 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Kumpulan alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) memberi amaran bahawa perlombongan nadir bumi meningkatkan risiko pencemaran radioaktif di sekelilingnya, walaupun lantanida yang dilombong bukan radioaktif.

Ia berkata proses melombong lantanida akan menumpukan unsur radioaktif yang wujud secara semula jadi di dalam tanah, menjadikannya lebih 'bioavailable' dan meningkatkan risiko pendedahan kepada sinaran.

"Apa yang dimaksudkan ialah aktiviti yang dicadangkan di Kenering itu mempunyai risiko yang tinggi untuk meningkatkan kepekatan radionuklid semula jadi seperti torium dalam persekitaran sedia ada, selain dari ammonium (yang bukan radioaktif tetapi toksik).

"Amalan larut resap in-situ untuk mengekstrak dan mengitar semula air yang diproses sebagai larutan larut resap, mendedahkan risiko yang tinggi untuk meningkatkan kepekatan radionuklid semula jadi dan meningkatkan pendedahan daripada sumber sinaran semula jadi," kata Presidennya Meenakshi Raman dalam satu kenyataan hari ini.

Dia menjawab kenyataan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad pada hari Rabu yang dilaporkan menuduh pembangkang mengelirukan orang ramai.

“(Adun Pasir Pinji) Howard Lee Chuan How yang merupakan ahli exco kerajaan negeri pada masa itu menyedari projek itu, tetapi dia kini mengatakan bahawa mineral itu adalah radioaktif.

"Kita telah melalui semua (prosedur) yang diperlukan untuk mendapatkan pelepasan untuk melombong mineral itu, dan ia bukan radioaktif," katanya seperti dilapor The Star.

Pertikaian kedua-dua pihak itu merujuk kepada aktiviti perlombongan nadir bumi di Kenering, Gerik.

Memetik laporan penilaian kesan alam sekitar projek, Meenakshi membalas bahawa tanah di tapak projek mempunyai 3.8 kali ganda paras torium-232 berbanding purata nasional.

Di samping itu, dia berkata torium-228 di tapak berkenaan mempunyai radioaktiviti melebihi satu Becquerel setiap gram, bermakna ia perlu dikawal sebagai bahan radioaktif.

Thorium-232 dan torium-232 adalah kedua-dua isotop radioaktif torium logam radioaktif lemah.

"Fakta-fakta ini sahaja telah menampakkan amaran dan kebimbangan, yang nampaknya telah diabaikan atau diperkecilkan oleh menteri besar.

"Menteri besar juga mesti menangani aspek proses perlombongan ini dan tidak hanya menumpukan pada ekstrak akhir bijih lantanida, yang seolah-olah menyampaikan mesej bahawa proses perlombongan adalah selamat dan mesra alam, yang tidak benar dari perspektif SAM,” katanya.

Meenakshi juga menafikan dakwaan Saarani bahawa projek itu tidak akan melibatkan penebangan mana-mana pokok.

"Keseluruhan projek ini melibatkan pembinaan 7 loji metalurgi hidro (jumlah 40.7 ha). Oleh itu, untuk mengatakan bahawa tiada pokok akan ditebang adalah mengelirukan, walhal pokok perlulah ditebang untuk membina loji metalurgi ini.

"Selain itu, berbanding kaedah konvensional, larut resap in-situ mungkin kurang memberi kesan dari segi pembersihan tanah, tetapi ia menimbulkan risiko yang lebih serius kepada air bawah tanah dan degradasi tanah.

"Perkara ini merupakan kebimbangan utama projek ini. Ini menjadi lebih teruk apabila keseluruhan tapak termasuk dalam klasifikasi Rancangan Fizikal Negara sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar tahap 1, yang tidak membenarkan aktiviti perlombongan seperti itu berlaku sama sekali," katanya.

Dia juga menyatakan bahawa aktiviti perlombongan in-situ di Ganzhou, China, telah menyebabkan lebih 100 tanah runtuh.

Tambahnya, tindakan menteri besar menekankan lantanida bukan radioaktif pada masa sama gagal menangani kebimbangan mengenai proses pengekstrakan dan enap cemar yang terhasil tidak membantu dalam membina kepercayaan orang ramai dan masyarakat setempat.

Lihat Komen
ADS