Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: DAP parti rasis, sering pecah belahkan Keluarga Malaysia
Diterbitkan:  Sep 30, 2022 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

PAS mendakwa DAP adalah parti rasis dan hanya memecahbelahkan Keluarga Malaysia.

Justeru, PAS menggesa rakyat Malaysia menolak parti itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata tuduhan Pengerusi DAP Lim Guan Eng bahawa PAS adalah parti perkauman hanya membuktikan betapa dangkalnya parti itu.

Khairil mendakwa DAP mempunyai rekod buruk dalam sikap perkaumannya terhadap isu membabitkan masyarakat Melayu-Islam.

Khairil mendakwa salah satu contoh ialah Perkara 2 perlembagaan DAP, yang bertujuan untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal”.

Kata Khairil, ia membuka pekung dada DAP yang anti kepada Islam dan Melayu.

Khairil mengulas kenyataan Guan Eng semalam yang menuduh PAS mengamalkan pendekatan perkauman dan ekstremis terhadap bukan Islam.

Bagaimanapun, Khairil berkata DAP tidak pernah menyembunyikan permusuhan mereka terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355).

Sedangkan, menurutnya, ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

Pada masa ini, Akta 355 memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum tidak melebihi tiga tahun, sebarang denda tidak melebihi RM5,000, atau dengan sebat tidak melebihi enam sebatan atau dengan mana-mana kombinasi hukuman itu bagi kesalahan di bawah undang-undang syariah.

Menurut Khairil, DAP juga menyokong ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semasa berada dalam kerajaan, tindakan yang menurutnya akan mengganggu keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum sejak merdeka sehingga hari ini. .

Khairil mendakwa bahawa veteran DAP Lim Kit Siang telah menuduh khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jakim sebagai "menyebarkan kebencian dan usaha mencabar ke arah keharmonian", sambil menambah bahawa pengerusi sayap wanita DAP Chong Eng dan timbalan setiausaha agung parti P Ramasamy juga telah mengkritik agama.

"Chong Eng pula mengkritik khutbah Jumaat berkait kewajipan wanita Muslim menutup aurat. Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dr P Ramasamy pula pernah menggelar pendakwah Islam, Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’,” katanya.

Khairil berkata, berhubung isu azan dan bacaan ayat al-Quran, pada 2005, DAP mempersoalkan penggunaan masjid menggunakan pembesar suara yang didakwa mengganggu orang bukan Islam.

Khairil seterusnya mendakwa DAP terkenal kerana menderhaka dan menentang raja-raja Melayu, memetik insiden di mana Kit Siang meminta Adun DAP memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak pada 2008, yang kebetulan dari PAS.

Dia juga berkata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming pernah menggelar pemimpin Umno Pulau Pinang Ahmad Darus sebagai “pemimpin Melayu otak cacat” kerana mencadangkan pramugari Malaysia Airlines memakai pakaian menutup aurat.

Mengenai isu murtad, dia mendakwa Ngeh Koo Ham dari DAP Perak mengeluarkan dua kenyataan mengenai orang Islam diberi kebebasan untuk murtad daripada Islam.

"Ngeh melaungkan kononnya umat Islam mestilah menerima hakikat bahawa jika seseorang Islam atas kehendaknya sendiri mahu keluar dari Islam dia mestilah dibenarkan berbuat demikian.

"Ngeh telah mengisytiharkan bahawa orang Islam mesti menerima hakikat bahawa jika seorang Muslim atas kehendaknya sendiri mahu meninggalkan Islam dia mesti dibenarkan berbuat demikian," katanya.

Dia juga mendakwa Deklarasi Setapak oleh DAP menentang konsep ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’.

Selain itu, Khairil turut menyorot bahawa rakyat Malaysia amat maklum bahawa salah satu patung Buddha terbesar di Asia terletak di Kelantan, sebuah kerajaan negeri pimpinan PAS.

"Malah sewaktu PAS mula menguasai Terengganu pada 1999, cukai gerbang Kampung Cina turut dihapuskan PAS, sekali gus mengukuhkan hubungan baik masyarakat Melayu dan Cina di Terengganu dan Kelantan," katanya.

Lihat Komen
ADS