Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beliau dijemput Allah pada usia 96 tahun di Qatar. Pemergian beliau pada 26 September 2022 merupakan dukacita pada ummah dan dunia Islam.

Sosok tubuh beliau dikenali dengan sanjungan bagi mereka yang bersamanya. Namun beliau dicemuh oleh pihak pembenci, terutama kerana ketegasan pendirian politik serta keseriusannya memerangi perkara-perkara menyeleweng dalam ibadah.

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai ulama, dikenali juga sebagai tokoh pemikir, rujukan gerakan-gerakan Islam, ikon wasatiah dan penulis berpengaruh.

Lebih 100 buah buku beliau dihasilkan dalam pelbagai topik.

Antara pengaruh beliau yang ditinggalkan ialah :

1. Kesatuan Ulama Islam Sedunia

Beliau mengasaskannya pada tahun 2004 dan menjadi pengerusi pada tahun penubuhan sehingga 2018 kemudian digantikan dengan Dr Ahmad Raisuni yang meletakkan jawatan kemudiannya.

Kesatuan Ulama Islam Sedunia menghimpunkan puluhan ribu ulama dari seluruh pelusuk dunia. Dunia Islam ada banyak organisasi, sama ada berdasarkan kesatuan ulama di negara masing-masing dan juga fokus bidang ilmu masing-masing. 

Malah antara pasak organisasi keilmuan sejak sekian lama juga iaitu al-Azhar yang menjadi rujukan dunia dan ummah, namun keanggotaan al-Azhar terhad kepada ulama warganegara Mesir, selepas pindaan zaman Presiden Anwar Sadat.

Keistimewaannya Kesatuan Ulama Islam Sedunia menyentuh semua isu secara menyeluruh serta keahliannya dibuka kepada seluruh dunia berdasarkan kriteria tahap pendidikan Islam yang dikhususkan. 

Dan kita boleh lihat selepas Dr Ahmad Raisuni meletakkan jawatan, pengerusi yang dilantik menerusi sidang mesyuarat Lembaga Amanah kesatuan ialah Habib Salim Saqqaf al-Jofri dari Indonesia.

2. Pendekatan wasatiah memahami Islam

Beliau dikenali dengan ikon atau tokoh wasatiah. Malah beliau mempopularkan kalimah manhaj wasatiah menerusi ucapan, penulisan buku serta pengamalan, walaupun beliau bukan orang pertama yang mencetuskan kalimah ini. Beliau berkata setiap zaman akan ada tokoh yang membawa manhaj ini, antaranya Syeikh Rashid Rida, Syeikh Mahmud Shaltut dan Syeikh Mustafa Zarqa’. 

Sementara tokoh  pertama  yang  menghasilkan  penulisan  berkenaan  pendekatan wasatiah ialah Syeikh Muhammad Muhammad al-Madini melalui karyanya Al-wasatiah fi al-Islam (Wasatiah dalam Islam).

Pendekatan wasatiah beliau ialah menekankan manhaj berfikir memahami Islam--antara tekstual nas dan pertimbangan kepada maslahat menerusi mencapai maqasid syariah. Beliau menolak kalangan yang jumud tertutup yang hanya melihat zahir teks tanpa berfikir kehendak kepada tekstual nas. Kelompok ini beliau menamakan dengan al-zahiriyah al-judud.

Pada masa yang sama beliau juga menolak kelompok yang bermudah-mudah membatalkan tekstual nas atas alasan maslahat sedangkan terpedaya dengan emosi dan nafsu. Kelompok ini dinamakan dengan al-muattilah iaitu perosak.

Antara buku beliau dalam hal ini ialah Fiqh al-wasatiah al-islamiyyah wa al-tajdid, Kalimat fi al-wasatiyyah al-islamiyyah dan Al-siyasah al-syar'iyyah fi dhau'i al-kitab wa al-sunnah al-nabawiyyah.

3. Pendekatan dakwah berasaskan fiqh al-taisir

Antara menjadi tarikan juga ialah penulisan buku beliau iaitu Al-Halal wa al-haram fi al-Islam. Antara perbahasan yang menjadi perhatian ialah hukum muzik. Dalam hal bersifat urusan duniawi beliau mengetengah kaedah fikah "hukum asal bagi sesuatu ialah harus melainkan ada dalil yang mengharamkan". Beliau juga menulis buku kecil mengenai seni dan sukan antaranya ialah Fiqh al-lahwi wa al-tarwih dan Al-islam wa al-fann.

Pendekatan al-taisir ini mengajak ummah berfikir, hukum atas sesuatu illah menerusi gambaran yang ada. Adapun hukum haram oleh ulama terdahulu mesti diketahui kenapa dan sebabnya bukan semata-mata hukum. Beliau menjelaskan konsep berdakwah ialah beri berita gembira, memudahkan dan buat manusia lari sebagaimana hadith ada menyatakan demikian.

Inilah yang beliau implimentasikan juga pada isu-isu yang melibatkan minoriti umat Islam dalam sesebuah negara seperti penulisan buku Fi Fiqh al-Aqlliyat al-Muslimah.

4. Ketegasan dalam isu ummah dan politik Islam

Perkara inilah beliau tidak disenangi oleh musuh dan mereka yang tidak sehaluan dengannya. Dalam isu al-Quds beliau amat jelas mempertahankan usaha jihad dan gerakan-gerakan Islam yang bangkit memperjuangkan isu al-Quds. Beliau jelas berulang kali bahawa isu al-Quds bukan isu Arab tetapi isu ummah sebagaimana dalam buku beliau iaitu al-Quds Qadhiyah Kulli Muslim. Malah terdapat fatwa khusus beliau dalam isu Palestin ni menerusi buku beliau Fatawa Min Ajli Palestin.

Malah beliau juga mengeluarkan pendirian politik dalam isu menyokong Presiden Turki Recep Toyyib Erdogan dalam isu yang berlaku di Turki iaitu demontrasi usaha menggulingkan Erdogan.

Yang paling kontroversi ialah pendirian beliau yang jelas menyokong revolusi yang berlaku di Timur Tengah dan menyokong kepada usaha rakyat Mesir sehingga jatuhnya Hosni Mubarak. Malah beliau menempelak Presiden Mesir sekarang iaitu Abdul Fatah al-Sisi yang menggulingkan Dr Mohamad Morsi. Beliau mengecam al-Sisi dengan keras malah menyelar ulama yang bersama dengan al-Sisi dan menyeru rakyat Mesir memboikot pilihan raya Mesir di zaman al-Sisi. Hasilnya beliau diburu oleh pihak berkuasa Mesir dan buku buku beliau diharamkan dijual di Mesir, melainkan individu jual secara rahsia sahaja.

Dalam ketegasan beliau dalam isu kebangkitan di negara-negara Arab ini, berlaku selisih pandangan beliau dengan Syeikh Abdullah bin Bayyah dari Emriah yang merupakan salah seorang naib presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia zaman beliau presiden, sehingga Syeikh Abdullah bin Bayyah meletakkan jawatan. Dan ketika itu Syeikhul Azhar, Syeikh Dr Ahmad Tayyib menubuhkan Majlis Hukuma Muslimin sebagai alternatif kepada kesatuan ini.

5. Tajdid dalam ijtihad yang membangunkan dunia Islam

Antara yang masyhur ialah kitab beliau iaitu Fiqh al-Zakat yang hasil dari asal tesis PhD beliau. Membawa kepada penekanan pembaharuan dalam pelaksanaan syariat bagi membangunkan dunia Islam dengan pandangan-pandangan yang tidak terhad dalam sesuatu mazhab. Beliau juga mendidik agar ummah tidak fanatik bermazhab sehingga wujudkan perbalahan furuk yang merugikan.

Sebab itu, beliau ada menyebutkan ada kitab beliau al-Sohwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazmum. Menegaskan khilaf sepatutnya menjadi rahmat, bukan perbalahan semasa ummah. Beliau juga menyebutkan mengenai hal seumpama ini dalam buku beliau al-Fatawa Baina al-Indhibat wa al-Tasayyub, Mujibat Fi Taghayuri al-Fatwa Fi 'Asrina dan al-Ijtihad Wa al-Muasir yang menjelaskan beberapa faktor kesalahan dalam berfatwa dan tuntutan tajdid dalam fatwa isu-isu kontemporari.

6. Individu berani kritik al-Azhar

Beliau merupakan pelajar al-Azhar sejak dari Maahad malah sehingga PhD. Beliau juga antara individu yang berani mengkritik al-Azhar dengan kritikan ilmiah dalam isu perubahan yang sewjaarnya dimainkan oleh pihak al-Azhar serta ulama al-Azhar.

Antara buku penulisan yang ditulis ialah Risalah al-Azhar Baina al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghadd.

Beliau  menyeru al-Azhar melakukan perubahan dalam subjek pengajian antaranya akidah dengan memasukkan penerangan balas ke atas ideologi Barat seperti sekular, dan liberal yang tidak hanya berbahas dalam kerangka terhad muktazilah, jabariyah dan qadariyah.

Malah dalam isu Revolusi Mesir 25 Jan, beliau mengkritik ulama al-Azhar dalam menyokong kebangkitan rakyat dan lebih cenderung dengan gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr Mohamad Morsi.

7. Menegur gerakan Islam secara terpimpin

Beliau merupakan rujukan kepada gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia dalam secara umumnya. Pandangan dan buku beliau dijadikan bahan bacaan, perbahasan dan rujukan. Beliau juga kerap memberikan teguran kepada gerakan-gerakan Islam secara terpimpin bagi mengetengah konsep saling bekerjasama dengan pendekatan tawaun fimattafaq wa taazzur fimakhtalaf.

Antara buku beliau dalam hal ini ialah Fiqh al-Awlawiyat, al-Awlawiyat fi al-Harakat al-Islamiyyah, al-Sohwah al-Islamiyyah Baina al-Murahaqah Ila al-Rusyd, al-Sohwah al-Islamiyah Baina Juhud wa al-Tatorruf dan Min Fiqh Daulah fi al-Islam.

Beliau juga menulis buku Wajibat al-Syabab al-Yaum bagi memberikan nasihat khusus kepada para pemuda agar memenuhi tanggungjawab dan memilik kefahaman Islam yang sebenarnya. Pemuda jangan hanya bersemengat tetapi mesti memiliki ilmu dan kefahaman dalam memikul gerak kerja dakwah.

Malah beliau juga dalam buku Fiqh al-Awlawiyat, menegur pemuda yang meninggalkan bidang pengajian masing-masing seperti kejuruteraan, pertanian dan lain-lain kerana semangat namun hanya faham Islam hanya pada ceramah sahaja.

Lagi buku beliau al-Thaqafah al-Da'iyah yang menekankan penting pakej asas bagi seorang pendakwah dengan ilmu asas yang lengkap. Dakwah dengan ilmu adalah perkara yang mesti bagi seorang pendakwah masa kini.

8. Seruan yakin pada kemenangan Islam

Walaupun umat Islam berada di zaman mundur dan musuh Islam kalangan Barat dan Timur nampak lebih maju dan terkehadapan, namun beliau terus menerus menekankan pasak keyakinan kepada ummah untuk berpegang kepada kemenangan adalah hak milik Islam.

Beliau menghimpunkan hadith-hadith yang membicarakan kemenangan Islam di akhir zaman. Buku tersebut ialah al-Mubassyirat Bi Intisoril Islam. Jelas dengan banyaknya hadith tersebut umat Islam jangan putus asa dengan ujian kekalahan demi kekalahan di zaman ini.

Malah usaha kebangkitan umat Islam adalah tuntutan yang perlu dilaksanakan dengan cara yang benar untuk capai kemenangan. Antara buku beliau yang menyentuh hal ini ialah al-Sohwah al-Islamiyyah Baina al-Aamal Wa al-Mahazir dan Aina al-Khalal?.

9. Menentang ideologi Barat

Beliau sama sekali tidak menerima apa jua ideologi Barat kerana ia bercanggah dengan syariat Islam. Malah beliau mengkritik pemimpin umat Islam yang mengambil ideologi sekular dalam pemerintahan sehinggakan hukum pemerintahan Islam diketepikan. Beliau menegur jelas dalam buku Jarimah al-Riddah wa Uqubatuha.

Selain itu juga beliau banyak menulis mengkritik ideologi Barat ini dan menegaskan umat Islam sama sekali tidak boleh menerimanya dalam kehidupan. Ini kerana Islam yang sedia ada adalah bersifat rabbani dan syumul. Buku beliau dalam menolak ideologi Barat ini antaranya al-Hulul al-Mustauradah Wa Kaifa Janat Ala Ummatina, dan A'da'u al-Hal al-Islami. Malah dalam kitab tebal beliau iaitu Fiqh al-Jihad menegaskan jihad tidak hanya perang malah zaman sekarang ialah usaha menentang ke atas serangan pemikiran juga adalah jihad.

10. Menyeru wanita, ummah dan negara Islam maju ke hadapan

Buku-buku beliau juga banyak membuka minda untuk ummah dan negara Islam bangkit maju kehadapan. Beliau pernah bermusahabah negara-nagara Islam dari Arab yang kaya dengan hasil minyak namun produktiviti kurang. Umat Islam hanya mempunyai kuasa pembeli tetapi barangan dari bukan Islam. Beliau sebut dalam satu khutbah beliau.

Beliau juga membuka minda ummah agar bekerja keras kerana itu juga tuntutan dalam Islam. Beliau menulis buku al-Iman Wa Al Hayah menyeru umat Islam tidak hanya pandangan iman dalam konteks hal inadah sahaja tetapi malas dalam bekerja dan usaha usaha pengurusan dunia. Akhirnya umat Islam rajib beribadah namun mundur dari sudut gerak kerja.

Sebab itu juga beliau menyatakan mensia-siakan atau bazir masa adalah jenayah lebih besar dari mensia-siakan atau bazir harta kerana harta boleh dicari dan diganti, namun masa yang pergi tidak akan patah balik semula. Beliau mengingatkan mengenai kepentingan masa ini dalam buku al-Waqtu Fi Hayah al-Muslim.

Beliau juga memberikan fokus khusus kepada seruan muslimat untuk bangkit. Antara buku beliau ialah Muslimah al-Ghadd dan Markaz al-Mar'ah Fi al-Hayah al-Islamiyyah. Beliau juga memberikan jawapan fikah bagi isu yang melibatkan muslimah antaranya Hukm al-Syar'i Fi Khitan al-Inath, Diyah al-Mar'ah Fi al-Syariah al-Islamiyyah dan al-Niqab Li al-Mar'ah Baina al-Qaul Bibid'iyyatihi Wa al-Qaul Biwujubihi.

Ini antara 10 pengaruh besar yang ditinggalkan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi. Banyak lagi sebenarnya. Ini antara sempat yang dicoretkan secara asas.

Semoga Allah tempatkan beliau kalangan orang solihin di syurga firdaus.


MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN ialah presiden Ilmam Malaysia (Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Malaysia Mesir).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS