Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid dedah isi pertemuan dengan Hadi: Umno beri tiga syarat
Diterbitkan:  Oct 2, 2022 5:00 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ketika bertemu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru ini, dia telah mengemukakan tiga syarat sekiranya PAS mahu menjalin semula kerjasama politik dengan parti itu.

Zahid hari ini dipetik Utusan Online berkata tiga syarat itu ialah PAS keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) seratus peratus daripada PN dan Bersatu.

Kata Zahid lagi, jika tiga tuntutan ini dipenuhi maka rundingan kerjasama dengan PAS boleh dibuat khususnya dalam menghadapi PRU15.

“Selagi PAS tidak penuhi tiga tuntutan itu, kita (Umno) tidak dapat merungkai apa juga isu dan perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti. Mereka mengetahuinya (tiga syarat).

“Tiga syarat itu saya maklumkan ketika mengadakan pertemuan dengan presiden PAS.

“Bukan saya hendak jumpa dia, tetapi dia yang hendak jumpa saya,” kata Zahid.

Mengenai kerjasama dengan PAS, Zahid juga dilaporkan berkata Umno tidak mahu melihat pisang berbuah dua kali.

“Dulu kita bersangka baik dengan PAS selepas menandatangani piagam (MN) tersebut yang menyaksikan hasil gabungan itu, kita menang tujuh pilihan raya kecil. Tetapi selepas itu lain yang terjadi,” katanya seperti dipetik Utusan Online.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sumber dalaman Umno menjelaskan pertemuan presiden Umno dan presiden PAS berkenaan hanya berlangsung di sebuah restoran di Bangi, Selangor.

Kata sumber itu, antara isu yang dibangkitkan Ahmad Zahid ialah tegurannya terhadap sikap PAS 'bermain dua kolam' dalam langkah politik mereka.

Bersatu kini merupakan salah satu musuh utama Umno. Untuk rekod Bersatu ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin kanan Umno yang keluar dari parti itu - sama ada atas kemahuan sendiri, digantung keahlian atau dipecat - menjelang pilihan raya umum (PRU14) lalu.

Pertemuan Abdul Hadi dengan Ahmad Zahid itu menjadi perhatian ramai selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyatakan dia akan meminta penjelasan daripada PAS.

Abdul Hadi kemudian mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin pula. Bagaimanapun menurut Muhyiddin, presiden PAS memaklumkan tiada sebarang ketetapan atau keputusan dicapai dalam pertemuannya dengan Ahmad Zahid.

Muhyiddin turut memaklumkan PAS memberi bayangan bahawa mereka akan membuat keputusan mengenai hala tuju parti terbabit bersama PN dalam masa terdekat.

Ia berlaku ketika wujud pertentangan pendirian di antara Bersatu dan PAS - walaupun kedua-duanya menjadi parti utama PN - berhubung sikap mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin sudah mengisytiharkan bahawa musuh utama PN dalam PRU ke-15 ialah BN, namun ia disanggah secara terbuka dan berkali-kali oleh PAS.

Untuk rekod Umno-BN pula sebelum ini turut menegaskan pendirian mereka untuk bergerak secara sendirian di sebalik piagam MN yang dimeterai dengan PAS pada 14 Sept 2019.

Lihat Komen
ADS