Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bajet perlu dibentang semula jika parlimen dibubarkan'

Penganalisis percaya rang undang-undang Belanjawan 2023 yang dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat ini hanya akan menjadi 'manifesto' BN, sekiranya parlimen dibubarkan sebelum rang undang-undang itu diluluskan Dewan Negara.

Menurut pakar, rang undang-undang itu tidak akan menjadi undang-undang jika ia diluluskan oleh Dewan Rakyat sahaja, dan dengan itu perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baru di parlimen akan datang.

"Rang Undang-undang Perbekalan 2023 hanya akan berkuat kuasa apabila rang undang-undang diluluskan, di mana ia perlu melalui proses perlembagaan untuk dibahaskan di kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) sebelum diluluskan sebagai perundangan," kata peguam Salim Bashir Baskaran kepada Malaysiakini.

Dia berkata jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan sebelum RUU itu diluluskan, ia tidak akan memberi kesan sehingga kerajaan baru dibentuk dan dibentangkan semula untuk kelulusan.

Kerajaan baru juga mempunyai pilihan sama ada untuk membentangkan semula rang undang-undang yang sama atau mencadangkan versi baru.

"(Kerana) ia masih "rang undang-undang bekalan". Ia tidak akan luput kerana prorogasi atau pembubaran parlimen, tetapi untuk belanjawan yang dicadangkan untuk dilaksanakan, ia perlu dibentuk sebagai satu perundangan.

"Kerajaan baru mempunyai pilihan sama ada mahu membentangkan rang undang-undang terdahulu oleh kerajaan lama untuk bacaan kali kedua, atau membentangkan semula rang undang-undang belanjawan baru," kata Salim.

Salim Bashir Baskaran

Menurut pakar undang-undang itu, perkara ini pernah berlaku sebelum ini pada 1999, apabila kerajaan baru "berlatih" untuk pembentangan belanjawan bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, kerana parlimen dibubarkan sejurus selepas ia dibentangkan oleh kerajaan terdahulu.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa apa-apa perkara yang dibahaskan atau diluluskan oleh Dewan Rakyat pada persidangan kali ini tidak akan sia-sia, kerana ia boleh diteruskan selepas kerajaan baru dibentuk.

Nazri yang merupakan pemimpin BN berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Mahfuz bertanya sama ada Nazri bersetuju bahawa masa mereka membahaskan rang undang-undang itu akan menjadi sia-sia sekiranya parlimen dibubarkan sebelum rang undang-undang itu melalui Dewan Negara dan diwartakan bagi penguatkuasaan.

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut memberitahu pemberita di Parlimen semalam bahawa rang undang-undang yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama tidak akan luput dan boleh diteruskan di sesi parlimen akan datang jika pentadbiran baru memilih untuk berbuat demikian.

“Tetapi, tiada juga yang menghalang pentadbiran baru daripada meminda atau membatalkan rang undang-undang tersebut,” katanya.

Jadi alat kempen PRU

Sementara itu, penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi percaya pembentangan belanjawan akan dilihat kerajaan sebagai peluang untuk menjanjikan habuan dan meningkatkan bantuan kewangan kepada rakyat.

Dia berkata belanjawan itu akan serupa dengan satu bentuk manifesto, atau alat, untuk gabungan kerajaan BN supaya pengundi memilih mereka untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Awang Azman Awang Pawi

"Belanjawan ini dijadikan belanjawan PRU yang banyak memberikan peningkatan bajet, yang menunjukkan sifat inklusif kerajaan dan keutamaan kerajaan kepada golongan sasar seperti B40.

"Pada masa yang sama golongan kelas menengah juga diberikan perhatian dan inisiatif seperti melalui Teraju, peningkatan bantuan untuk SME dan sebagainya bagi memastikan keyakinan pengundi dapat dipertingkatkan dan undi yang diperoleh semakin meningkat dan memenangi PRU," kata Awang, yang merupakan felo penyelidik di Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel).

Sebaliknya, James Chin, seorang profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania, berpandangan bahawa semua perbincangan mengenai pembubaran parlimen selepas pembentangan belanjawan hanya untuk mengalihkan perhatian.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan pimpinan BN tidak mempunyai sebab untuk membentangkan belanjawan untuk tahun depan sebelum PRU15.

"...ini untuk alih perhatian, mengarut. Sebabnya, janji-janji yang dia (Perdana Menteri) akan buat, dia tak payah letak dalam belanjawan. Boleh jadi sebahagian daripada manifesto.

"Mereka tidak perlu meluluskan belanjawan sebelum pilihan raya. Kerana perkara yang sama boleh dimasukkan ke dalam manifesto mereka.

"Pada saya perkara yang sama, anda memang tidak perlukan belanjawan. Jadi saya tidak faham kenapa pembangkang taksub dengan belanjawan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS