ULASAN SENI | Antara puak politik yang timbul semasa musim spekulasi pilihan raya zaman pasca-PRU14 adalah mereka yang mengajak rakyat memandang ke belakang berbanding ke hadapan.
Puak itu menggamit perasaan nostalgia dalam kalangan pengundi kepada satu zaman yang kononnya penuh keemasan dan rakyat digambarkan lebih senang.
Mereka lalu menyeru supaya suasana itu dihidupkan semula.
Menurut naratif puak revivalist itu, pada zaman sebelum PRU ke-14 ekonomi Malaysia tumbuh dengan rancak apabila negara dinakhoda seorang ketua yang didakwa tegas, petah, berani menterbalikkan status quo pada masa itu sehingga dia disegani rakyat dan saingan politiknya.
Kita lihat hujah-hujah itu dalam seruan seperti “kembalikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri” kerana dikatakan hanya bekas perdana menteri itu boleh “mentransformasikan semula negara menjadi kuasa Harimau Asia” semula seperti zaman 1990-an.
Pertumbuhan ekonomi yang rancak dan kekayaan yang dibina pada era perindustrian 1990-an sering dikaitkan dengan visi, kecerdikan dan kepimpinan sang penguasa zaman itu.
Di Filipina, majoriti pengundi termakan dengan umpan serupa apabila mereka memilih Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr, anak kepada bekas presiden Ferdinand E Marcos.
Kisah rakyat dimangsakan
Antara faktor kemenangan Bongbong ialah jentera sosial yang berjaya meyakinkan pengundi muda akan kemakmuran pemerintahan bapanya pada 1970an-80an.
Ia digambarkan begitu dengan berjaya walaupun sejarah mencatatkan bahawa sejumlah 34,000 individu dipercayai diseksa dan 3,400 dibunuh semasa bapa Bongbong berkuasa.
Pada saat pengundi Malaysia didendangkan dengan nostalgia lunak, hadir sebuah inisiatif, Arkib Filem Rakyat, yang mengingatkan kita bahawa 'hujan emas' pada zaman dahulu sebenarnya sering diselangi dengan 'hujan batu'.
Arkib itu yang dilancarkan pada bulan lalu mengumpulkan bahan video dari 1990-an hingga sekarang. Ia melibatkan filem-filem mengenai gerakan sosial, protes, syarahan dan wawancara daripada kumpulan sivil, suara-suara rentan dan komuniti marginal.
Bahan yang dikumpul adalah rekod bahawa ada kelompok masyarakat yang dimangsakan, dihimpit dan dieksploitasi dalam perjalanan Malaysia menjadi Harimau Asia.
Menurut Tan Jo Hann, aktivis yang merekodkan peristiwa tersebut dari 1993 dan antara yang menggerakkan arkib berkenaan, bahan yang telah dan akan dimuatnaik termasuk:
· Insiden peneroka ibu kota Malaysia yang dihalau dari petempatan mereka seperti Kampung Kerinchi, Railway dan Chubadak Tambahan.
· Rakaman pengalaman komuniti Sarawak yang dipaksa berpindah bagi memberi laluan kepada empangan Bakun.
· Protes dan kempen pekerja estet menuntut gaji dan suasana kerja yang lebih baik.
· Wawancara bersama wakil rakyat tentang penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan politik.
· Gerakan politik seperti Reformasi, Bersih dan Mansuhkan ISA.
Itu hanya segelintir daripada lebih 2,100 jam bahan video dan 54 jam filem yang akan dimuat naik di platform digital yang dibangunkan kumpulan sivil Freedom Film Network dan Witness. Ia mendapat sokongan Kesatuan Eropah dan Institut Goethe.
Bahan berkenaan boleh diakses dan digunakan oleh pendidik, penyelidik dan aktivis masyarakat.
Dekat dengan hati
Pengasas Pusat Komas yang mengumpulkan bahan video tersebut, Jo Hann, berkata tujuan mereka mendokumentasikan pengalaman rakyat itu adalah supaya derita mereka tidak disenyapkan oleh naratif zaman keemasan sang pemerintah masa itu.
“Era lewat 1980-an dan 1990-an ketika ideologi Mahathirisme sangat kuat adalah masa yang sangat mencabar bagi gerakan rakyat serta kumpulan sivil,” katanya.
“Bila orang miskin, Orang Asli, peneroka bandar berkempen menuntut hak mereka atau kumpulan sivil berkempen tentang hak asasi, kami semua dianggap antipembangunan, komunis atau barua kuasa barat.
"Media dan maklumat masa dahulu dikawal sepenuhnya oleh kerajaan dan kerap kali kita nampak cerita kami diputar belit oleh media kerajaan."
Bagi aktivis hak asasi manusia, Katrina Jorene Maliamauv, usaha arkib itu sangat dekat dengan hatinya.
Ibu Katrina - mendiang Irene Fernandez - pernah ditahan rejim Mahathir pada 1996 kerana membongkar penyeksaan dan kematian yang berlaku di dalam kem tahanan imigresen.
Irene, yang tidak letih memperjuangkan hak bagi pekerja migran, pelarian dan wanita, sering diganggu oleh badan berkuasa dan dimomokkan sebagai sebagai penyebar “berita palsu”.
Arkib Filem Rakyat memaparkan video yang mengesahkan apa yang didedahkan Irene sekali gus menunjukkan bahawa era perindustrian emas 1990-an yang diagungkan itu berlaku di atas penderitaan beribu-ribu pekerja migran.
“Apabila kita jahil sejarah, kita bakal jadikan ketidakadilan sebagai perkara biasa. Apabila kita jahil tentang sejarah, ia mengehadkan imaginasi kita tentang masa depan yang kita boleh bina bersama," katanya.
Bagi Jo Hann dan Katrina, Arkib Filem Rakyat bukan sahaja untuk seseorang belajar sejarah. Ia adalah juga alat menentang kezaliman masa kini kerana pembikin filem, wartawan dan aktivis masyarakat dapat memastikan suara rakyat bawahan didengar dalam arus pembangunan.
Ia alat membina zaman keemasan yang dapat dirasai semua dan bukan hanya elit dan sang penguasa.
SHERIDAN MAHAVERA ialah ahli Freedom Film Network.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.