Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Pelan induk baru Taman Mranti bantu negara hadapi IR4.0

Pelan Induk baharu Taman MRANTI akan memupuk keupayaan Malaysia dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelan induk itu juga memberi fokus kepada teknologi terkini daripada sistem Internet benda (IoT), perkhidmatan Protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

“Taman MRANTI ini dilengkapi dengan infrastruktur moden, termasuk jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G serta insentif dan peluang pembiayaan, juga direka untuk menarik golongan profesional muda, serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

“Ia dijangka dapat mencipta lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu dan ini adalah berita baik untuk seluruh Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI di Mranti Park, Bukit Jalil di Kuala Lumpur hari ini. 

Perdana Menteri berkata dengan lokasi terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Malaysia, Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu, yang memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat.

Beliau berkata Taman MRANTI juga menyaksikan kerjasama dengan lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Iskandar Malaysia dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dalam mempromosi dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan.

Katanya, kawasan seluas 686 ekar (277.61 hektar) itu juga menarik minat banyak syarikat teknologi termasuk Intervenn Biosciences, Dedikasi Aba Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon.

Selain itu, Ismail Sabri berkata lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion.

Perdana Menteri berkata lima kluster teknologi itu juga dijangka membawa nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada pelabur.

“Usaha ini akan dipacu MIMOS Berhad yang berperanan penting membantu negara menjana nilai tambah yang tinggi daripada aktiviti pembangunan dan pengkomersialan teknologi, khususnya dalam sektor Elektrik & Elektronik (E&E).

“Sektor E&E merupakan penyumbang terbesar kepada eksport negara dengan nilai sebanyak RM455.7 bilion pada tahun lepas dan berpotensi besar untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global bagi melambangkan imej baharu lebih meluas, bersesuaian dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan.

Beliau berharap MIMOS Global akan terus bekerja keras untuk membantu kerajaan memacu pembangunan dan meningkatkan penguasaan dalam sektor kepakarannya sementara kerajaan pula bertindak menyediakan sokongan kewangan dan kemudahan sewajarnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS