Paling Popular
Terkini

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah mengingatkan pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa mahkamah perlu mengakhiri perbicaraan rasuah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Sequerah hari ini memberitahu pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa perbicaraan yang bermula sejak 2019 itu telah tertangguh sejak sekian lama.

Hakim itu berkata demikian ketika membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan petang ini berikutan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengambil cuti sakit (MC).

Peguam Najib, Alaistair Brandah Normah memaklumkan bahawa Shafee tidak sihat dan mengambil MC sehingga Ahad ini.

"Dia mengalami demam dan sakit tekak yang teruk yang menghalangnya daripada melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi," kata Alaistair.

Peguam itu juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Shafee perlu menghadiri dua kes mahkamah berasingan pada Selasa dan Rabu depan, ketika perbicaraan 1MDB juga dijadualkan di hadapan Sequerah.

Perbicaraan pada Selasa depan adalah berkaitan rayuan bekas pengerusi eksekutif Repco Holdings Bhd, Low Thiam Hock di Mahkamah Tinggi berhubung sabitan bersalah serta hukuman penjara lima tahun dan denda RM5 juta terhadapnya atas kesalahan manipulasi pasaran.

Perbicaraan pada Rabu pula adalah berkaitan permohonan kebenaran oleh Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun untuk memulakan semakan kehakiman bagi menghadiri sidang parlimen.

Alaistair kemudian mencadangkan supaya perbicaraan kes 1MDB pada Selasa depan ditetapkan untuk sebutan pada sebelah petang dan perbicaraan pada Rabu bermula sedikit lewat pagi itu.

(Tiada perbicaraan pada Isnin minggu depan kerana cuti umum sempena Maulidur Rasul).

Timbalan pendakwa raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata walaupun pihak pendakwaan tiada bantahan untuk melapangkan perbicaraan petang ini, mereka tidak bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan berkaitan perbicaraan pada Selasa dan Rabu minggu depan.

Pendakwa raya itu berkata mereka perlu selesai menyoal saksi pendakwaan, iaitu Ketua Pasaran Modal Perbankan PersendirianAmBank Yap Wai Keat, dan bekas pengarah urusan bank itu, Cheah Tek Kuang.

Mustaffa berkata, pihak pembelaan dan pendakwa raya masih perlu menyelesaikan pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula terhadap Yap dan Cheah, sebelum pihak pendakwaan boleh memanggil mana-mana saksi baru.

Sequerah berkata bahawa "Saksi-saksi itu masih tergantung dan perbicaraan ini telah ditangguhkan sejak sekian lama".

“Kita tidak boleh tunggu mahkamah itu dan mahkamah ini. Kami (Mahkamah) juga mempunyai komitmen untuk menyelesaikan perbicaraan ini,” kata hakim mengingatkan merekayang terlibat dalam perbicaraan itu.

Sequerah kemudiannya menangguhkan perbicaraan petang ini dan akan disambung semula pada Selasa minggu depan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS