Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasaran kewangan kekal teguh dalam menghadapi tekanan luar
Diterbitkan:  Oct 7, 2022 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Pasaran kewangan domestik kekal teratur dan aktiviti pengantaraan kewangan terus menyokong pemulihan ekonomi meskipun menghadapi tekanan luar, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Menurut laporan itu, tahap akomodasi dasar monetari telah dikurangkan selaras dengan prospek pertumbuhan domestik yang kukuh dan sokongan dasar monetari yang diperlukan semasa krisis Covid-19 semakin reda.

Ini dicerminkan oleh peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) secara kumulatif sebanyak 75 mata asas sebanyak tiga kali berturut-turut dari Mei hingga September 2022, katanya.

Agregat monetari terus berkembang bagi tempoh tujuh bulan pertama 2022, dengan bekalan wang secara kecil (M1) meningkat 9.3 peratus kepada RM602.2 bilion terutamanya didorong oleh permintaan deposit yang meningkat.

Bekalan wang secara luas (M3) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus kepada RM2.22 trilion, disokong oleh tuntutan ke atas sektor swasta yang meningkat.

“Penilaian dasar monetari akan berpandukan penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terhadap persekitaran yang berubah dan implikasinya kepada prospek keseluruhan ke atas inflasi dan pertumbuhan ekonomi domestik.

“MPC akan terus melaksanakan dasar monetari di Malaysia bagi mencapai matlamat kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam jangka panjang,” menurut laporan itu.

Mengenai prestasi sektor perbankan, ia mempunyai permodalan mencukupi bagi menyokong pemulihan ekonomi meskipun berdepan volatiliti yang meningkat dalam pasaran kewangan global, katanya.

Perkara itu ditunjukkan melalui kedudukan modal bank yang kukuh dengan lebihan penampan modal sebanyak RM129.6 bilion dan nisbah modal yang baik pada akhir Julai 2022.

Keuntungan sebelum cukai sistem perbankan bertambah baik kepada RM20.9 bilion pada akhir Jun 2022, disokong oleh penyederhanaan dalam kos kredit berikutan pengumpulan peruntukan secara terlebih dahulu pada 2020 dan 2021 serta pengurangan peruntukan kerugian pinjaman secara beransur-ansur apabila aktiviti pembayaran kembali rancak.

“Keuntungan keseluruhan bank dijangka kekal teguh, disokong oleh peningkatan dalam pertumbuhan pinjaman apabila negara kembali pulih daripada kesan berpanjangan pandemik Covid-19,” katanya.

Menurut laporan itu, permintaan untuk pinjaman kekal tinggi dengan permohonan pinjaman meningkat sebanyak 20.1 peratus kepada RM775.3 bilion, didorong oleh aktiviti ekonomi yang kembali normal.

Sementara itu, kelulusan pinjaman turut sejajar dengan peningkatan permohonan pinjaman sebanyak 27.8 peratus kepada RM382 bilion sepanjang Januari hingga Julai 2022.

Pinjaman terkumpul isi rumah meningkat 6.1 peratus kepada RM1.16 trilion pada akhir Julai. Pengeluaran pinjaman meningkat 23.4 peratus kepada RM236.9 bilion terutamanya bagi pembelian harta tanah kediaman dan kereta penumpang, katanya.

Mengenai hutang, jumlah hutang isi rumah bernilai RM1.41 trilion pada akhir Julai 2022, menurut laporan itu.

Pertumbuhan hutang isi rumah pada separuh pertama 2022 itu didorong oleh pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan ke atas pembelian kenderaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS