mk-logo
Berita
Pertahan hidup bersama rai kepelbagaian di Sarawak - Abang Jo
Diterbitkan:  Oct 10, 2022 11:30 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Konsep ta’ayush atau hidup bersama dalam meraikan kepelbagaian perlu dipertahankan di Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata konsep itu sememangnya sinonim dengan negeri itu yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.

“Di negeri ini, tiada siapa yang boleh menyakiti hati agama lain dengan membanding dan merendah-rendahkan kepercayaan orang lain yang tidak seagama.

“Sarawak tetap kekal sebagai model masyarakat yang saling bekerjasama dan hormat antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Sarawak di Miri hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sementara itu, Abang Johari berkata konsep berjemaah harus terus dibudayakan masyarakat Sarawak dalam semua aspek kehidupan.

Beliau berkata konsep berjemaah juga selari dengan agenda Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan Persekutuan.

“Konsep berjemaah juga harus meliputi hal-hal kehidupan seperti makan bersama, bermesyuarah, berziarah, membina masjid dan rumah,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS