Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ketua pemuda KLSCAH mahu jadi alternatif di kubu kuat DAP

Kerusi Parlimen Seputeh - salah satu kubu kuat DAP di ibu kota mungkin akan menyaksikan calon bebas pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.

Bekas ketua pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Lee Wai Hong mengumumkan dalam media sosial bahawa dia akan bertanding di kampung halamannya Seputeh, sejurus selepas parlimen dibubarkan semalam.

Jurutera laman web berusia 42 tahun itu mahu menjadi pilihan alternatif bagi mereka yang hilang keyakinan dalam politik parti selepas Langkah Sheraton pada 2020.

“Hanya sebilangan kecil pengundi yang keluar mengundi semasa pilihan raya itu selepas Langkah Sheraton. Tetapi saya harap pengundi Seputeh tidak melepaskan hak mereka untuk mengundi.

“Jika anda penyokong DAP, anda boleh terus mengundi Teresa Kok.

"Tetapi jika anda tidak akan mengundi kerana kedua-dua parti politik bukan pilihan anda, saya harap saya boleh menjadi pilihan alternatif," kata Lee ketika dihubungi Malaysiakini.

Seputeh sentiasa menjadi medan pertempuran DAP dan MCA. Teresa Kok dari DAP memegang kerusi itu lima penggal selepas pertama kali memenanginya pada 1999 dengan 5,200 undi majoriti, dan angka itu meningkat kepada 56,059 pada 2018.

Ketika ditanya sama ada semua parti politik di Malaysia bukan platform idealnya, Lee menafikan tanggapan itu dan menegaskan hasratnya adalah untuk berkhidmat kepada kampung halamannya.

“Seputeh adalah kubu kuat DAP, tetapi parti itu nampaknya kekurangan jentera untuk melatih orang baru, yang mampu menyumbang kepada masyarakat mereka; atau jentera tidak begitu lengkap.

“Selain itu, tidak semua orang yang mahu menyertai politik bersetuju dengan nilai DAP.

“Sebagai contoh, jika saya lebih berminat dengan nilai parti Muda, mustahil Muda meletakkan saya sebagai calon untuk menentang DAP.

“Jadi saya bertanding sebagai calon bebas. Saya tidak perlu menjawab kepada mana-mana parti politik. ‘Bos’ saya ialah orang yang saya beri perkhidmatan,” kata Lee

Walaupun politik parti memainkan peranan, tambah Lee, seseorang itu perlu berusaha dalam parti dan mendapat restu daripada kepimpinan parti untuk berpeluang menjadi calon.

Katanya, kadang-kadang sukar untuk meletakkan kepentingan pengundi pada keutamaan pertama dalam keadaan ini.

Lee berharap pencalonannya dapat mendorong calon-calon di Seputeh untuk membentangkan rancangan dasar mereka bagi isu-isu tempatan, seperti trafik, penduduk yang semakin tua, pembangunan yang berlebihan dan garis kemiskinan.

Untuk rekod, Lee aktif dalam masyarakat sivil di kawasan lembah Klang, terutamanya dalam masyarakat Cina.

Dia pernah menganjurkan satu siri tayangan dokumentari mengenai protes besar-besaran Hong Kong, ‘Revolution of Our Times’, di Malaysia pada April ini.

Filem ini tidak ditayangkan di pawagam tetapi tayangan peribadi diadakan di Selangor, Pulau Pinang, Ipoh, Sarawak dan Johor.

Polis ketika itu memanggil Lee sebelum filem itu ditayangkan untuk mengetahui motifnya menayangkan filem itu yang telah diharamkan di China dan Hong Kong.

Lee juga cuba mengatur satu lagi filem, ‘May You Stay Forever Young’, untuk ditayangkan di Malaysia.

Bagaimanapun, filem itu diharamkan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana didakwa mengagungkan protes ganas dan berpotensi menjejaskan hubungan dua hala Malaysia-China.

Lihat Komen
ADS