Paling Popular
Terkini

ULASAN | Gendang pilihan raya sudah dipalu. Meskipun dalam kekalutan musim tengkujuh yang boleh mengakibatkan banjir terburuk seperti diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi tidak peduli.

Gendang tetap dipalunya juga.

Suka atau tidak, rakyat kini dipaksa menari mengikut rentak paluan gendang Umno. Walaupun ramai yang enggan, Ahmad Zahid tidak mahu peduli.

Dalam banyak keratan-keratan video ucapan Ahmad Zahid, jelas sekali dia menggambarkan bahawa pilihan raya umum (PRU) yang mereka mahukan adalah bagi mengelakkan pendakwaan demi pendakwaan terhadap pemimpin Umno dan BN yang terpalit tuduhan salah guna kuasa serta rasuah.

Melalui salah satu keratan video yang tular di media sosial misalnya, tanpa berselindung Ahmad Zahid berkata, PRU ini mesti dijalankan dan mereka perlu menang besar.

Tujuannya: agar dia dan pemimpin BN yang lain dapat disekat daripada dibawa ke muka pengadilan.

Kesannya, rakyat bengang. Dalam kekalutan kita bersiap siaga untuk banjir, kenapa Ahmad Zahid asyik sibuk mahukan PRU dan asyik sibuk berbincang tentang mengambil alih kuasa?

Makin lama kian terbuka

Wakil rakyat masih ada, kerajaan berjalan seperti biasa, tapi Ahmad Zahid tetap tidak sabar-sabar mahu mengadakan PRU dengan segera.

Yang di-Pertuan Agong juga sudah menitahkan kebimbangan tentang kemungkinan banjir, tentang ramalan cuaca buruk yang bakal melanda untuk sebulan dua.

Tetapi Ahmad Zahid buat tidak tahu saja, tetap juga mahu adakan PRU. Macam orang gila.

Tetapi apabila difikirkan dengan lebih mendalam, sebenarnya memang ada kegilaan pun di situ. Gila kuasa!

Habis dicipta seribu satu alasan tanpa mengambil kira risiko dan dangkal cerekanya. Padahal sudah terang lagi bersuluh bahawa Ahmad Zahid dan Umno mahu adakah PRU adalah demi kepentingan politik peribadi, demi menyelamatkan periuk nasi, dan membebaskan kerak-kerak rasuah yang makin lama makin terbuka, semakin terlondeh.

Ahmad Zahid kepanasan. Kesan daripada tempoh 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, bekas presiden Umno didapati bersalah dan disumbat ke penjara. Isteri Najib Razak juga dapat didakwa dan dibicarakan.

Ahmad Zahid dan pemimpin Umno sedar: keadaan sebegitu tidak boleh diizinkan berterusan. Mereka tahu jika keadaan tidak diubah, akan ada lebih ramai pemimpin Umno-BN akan didakwa dan semasa perbicaraan, akan ada banyak maklumat dilondehkan.

Lebih mengerikan, kalau hakim mendapati berlaku salah laku dan di hujung sana ada penjara menunggu.

Ini bukan saya yang kata, tapi Ahmad Zahid sendiri yang mengaku dalam ucapannya tempoh hari. Jadi, PRU diharapkan dapat menjadi perisai daripada semua itu daripada berlaku.

Habis tu, kalau banjir macam mana? Andai musim tengkujuh menimpa, bagaimana?

Bagi Umno, lantaklah... asalkan Ahmad Zahid boleh mengambil semula kuasa.

Kalau peratusan keluar mengundi rendah disebabkan kekangan banjir, itu kan lebih baik buat mereka. Johor dan Melaka sudah menjadi kayu ukur. Semakin sedikit rakyat keluar mengundi, semakin cerah peluang buat Ahmad Zahid dan konco-konconya kembali berkuasa.

Azam yang lebih kuat

Ahmad Zahid merancang untuk melepaskan tengkuk sendiri dan tengkuk kawan-kawannya. Kalau peratusan keluar mengundi di sekitar 50 peratus saja nanti, ia adalah khabar yang sangat bagus untuk Ahmad Zahid.

Namun rakyat bukan bodoh. Rakyat tahu. Rakyat bukan alat untuk menghalalkan muslihat dan membiarkan Ahmad Zahid serta gerombolan kawan-kawannya terlepas begitu sahaja.

Justeru rakyat akan keluar mengundi ramai-ramai apabila sampai masanya nanti.

Kalau pada 2018 dulu rakyat keluar mengundi dengan niat untuk mengalahkan pencuri, kali ini rakyat akan lakukan hal itu dengan keazaman yang lebih kuat.

Rakyat akan keluar mengundi untuk menghalang Ahmad Zahid daripada 'cabut lari'.

Rakyat akan keluar mengundi pada PRU ke-15 ini dengan satu mesej: memilih untuk menzahirkan protes terhadap para pemimpin korup, dan keluar untuk menghalang Ahmad Zahid.

Semua akan mengundi untuk kalahkan 'pencuri'.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah bekas exco Johor dan kini ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP serta Naib Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS