Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fahmi nafi Anwar terbuka kerjasama dengan Dr M, Muhyiddin

PKR tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Perikatan Nasional (PN), kata pengarah komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Penjelasan itu dibuat beberapa jam selepas pengerusi PH, Anwar Ibrahim dilaporkan membayangkan pintu kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin masih terbuka.

"Saya meneliti beberapa laporan media yang membayangkan bahawa Presiden Keadilan dan Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, bersedia dan terbuka untuk bekerjasama dengan GTA atau PN.

"Ini tidak benar. Pendirian Keadilan dan Pakatan Harapan amat jelas, iaitu fokus utama kami adalah untuk memperkukuh Pakatan Harapan itu sendiri," kata penyandang Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Fahmi berkata, Anwar telah menyatakan bahawa sebarang kerjasama dengan mana-mana parti menjelang PRU15 tidak hanya tertumpu kepada usaha menumbangkan Umno-BN tetapi mesti berteraskan prinsip-prinsip agenda reformasi, tatakelola yang baik dan melawan rasuah.

"Oleh itu, Keadilan tiada hasrat untuk mengadakan perbincangan kerjasama pilihan raya dengan GTA dan PN," katanya.

Terdahulu, pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini, Anwar tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Mahathir dan Muhyiddin sekali lagi.

Bagaimanapun, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan mereka hanya akan menerima dua bekas perdana menteri itu sekiranya mereka komited dengan prinsip PH.

"Kami (PH) komited dalam melaksanakan agenda reform (pembaharuan), melawan gejala rasuah dan penyalahgunaan rasuah.

“Sesiapa saja yang bersetuju dengan prinsip ini, boleh datang dan berbincang kami. Ruang adalah terbuka," kata Anwar kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Kenyataannya itu dibuat sebagai menjawab soalan khusus sama ada dia bersedia mempertimbangkan untuk menerima Mahathir dan Muhyiddin sebagai sekutu sekali lagi, selepas apa berlaku susulan sejarah hitam Langkah Sharaton pada 2020 yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

"Come together itu memang kenyataan yang lunak seperti bersatu, bersatu itu apa, ada orang bersatu yang nak rompak, ada bersatu dengan macam cerita persatuan 40 penyamun. Jadi bersatu itu mesti bersandarkan kepada beberapa prinsip yang jelas.

"Ada tata-kelola yang baik, menolak rasuah, tidak bersetuju dengan kaedah atau dasar perkauman, atau kefahaman agama cara fanatik yang menidakkan kehadiran yang lain.

“Kalau bersetuju silakan, ini bukan milik monopoli mana-mana parti,” katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS