Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Warisan, GPS mampu hidupkan Borneo Bloc, stabilkan politik negara

ULASAN | Merujuk kepada ucapan yang dibuat oleh Presiden Parti Warisan Shafie Apdal di Matunggong, Kota Marudu, Sabah pada 13 Oktober 2022 di mana beliau telah mengatakan bahawa Sabah dan Sarawak bakal menjadi ‘kingmaker’ dalam Persekutuan Malaysia dengan 56 kerusi parlimen pada PRU15 ini.

Idea mengenai Borneo Bloc sudah lama ada malah salah satu daripada sebab yang telah menyebabkan kerajaan British memutuskan untuk membawa Sabah dan Sarawak membentuk satu persekutuan bersama-sama dengan Malaya dan Singapura pada 1963 ialah untuk mengimbangi isu demografi penduduk Malaya dan Singapura yang menjadi batu penghalang utama kepada pembentukan Malaysia ketika itu.

Ini menunjukkan kepada kita semua bahawa Borneo Bloc adalah sangat penting kerana kehadiran Sabah dan Sarawak sebagai ‘trustees’ (pemegang amanah) yang boleh diharapkan oleh Malaya dan Singapura sebenarnya telah membolehkan persekutuan ini ditubuhkan dan seterusnya telah membawa kepada kestabilan politik di negara pada tahun-tahun awal penubuhannya sepertimana yang diharapkan oleh kerajaan British.

Pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa ketidaktentuaan politik yang sedang terjadi di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan oleh perebutan kuasa antara Umno dan Bersatu yang ditambah pula dengan isu kredibiliti PKR dan PAS yang mahu mengambil kesempatan dengan membuat rundingan politik di sana-sini.

Keghairahan parti-parti politik dari Malaya ini untuk mendapatkan kuasa di kala kita semua merasa bimbang akan bencana banjir yang bakal membawa kerosakan dan kemusnahan harta benda serta perniagaan bernilai ratusan ribu ringgit memberi satu gambaran kepada kita semua bahawa ketidak-tentuaan ini akan terus berlarutan selepas PRU15 melainkan Borneo Bloc campurtangan sekali lagi untuk menyelamatkan keadaan.

Namun idea Borneo Bloc yang hendak diketengahkan oleh Warisan bukanlah idea Borneo Bloc sebagai penyelamat kepada parti-parti Malaya seperti Umno, Bersatu, PKR, DAP atau PAS dalam bentuk ‘fixed deposit’ sepertimana yang dikatakan oleh Najib Razak dahulu tetapi sekali lagi sebagai ‘trustee’ kepada rakyat Malaysia.

Sebagai permulaan, 56 kerusi parlimen Sabah dan Sarawak adalah cukup untuk membolehkan Borneo Bloc memaksa mana-mana gabungan yang mahu mentadbir Putrajaya bukan hanya untuk memberikan apa yang sepatutnya diterima oleh kedua-dua negeri ini tetapi juga untuk merealisasikan ‘Agenda Nasional MA63’ yang diketengahkan oleh Parti Warisan Bahagian Penampang bulan lalu agar MA63, IGC dan Laporan Cobbold diketahui secara meluas oleh rakyat Malaysia melalui kempen, roadshow dan sebagainya serta diterapkan/dilaksanakan diperingkat Persekutuan yakni melalui kementerian, jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jika Malaysia boleh melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 selama 19 tahun sehingga 1990 atas tujuan penyusunan semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara pada masa itu, maka mengapakah satu dasar atau agenda yang melibatkan pembentukkan Malaysia tidak boleh direncanakan?

Tetapi jika ketidakstabilan politik di Semenanjung berterusan selepas PRU15, maka Sabah (dan juga Sarawak) akan terus menghadapi jalan buntu dalam 3 isu utama iaitu royalti petroleum, hak 40 peratus ke atas cukai dipungut dan peruntukan belanjawan tahunan yang kecil.

Ini adalah kerana parti-parti Malaya yang menguasai Putrajaya akan memastikan sebahagian besar kewangan Persekutuan akan diperuntukkan untuk menampung belanjawan pembangunan dan pengurusan di Semenanjung.

Jika parti-parti tempatan GPS dari Sarawak yang menguasai sepenuhnya politik Sarawak diberikan peruntukan belanjawan yang begitu kecil untuk dua tahun berturut-turut walhal PH telahpun menandatangani MOU dengan kerajaan Ismail Sabri, maka apakah yang boleh diharapkan dengan parti-parti Umno dan Bersatu yang mahu bertanding di hampir kesemua kerusi-kerusi parlimen Sabah?

Jadi saya melihat, Warisan dan GPS mampu menghidupkan semula peranan Borneo Bloc sebagai ‘trustee’ sekali lagi seperti pada awal tahun 1960an untuk menstabilkan semula gelora politik Malaysia dan 56 kerusi Parlimen dari Sabah dan Sarawak ini kini boleh dijadikan asas kepada perlantikkan Perdana Menteri Malaysia (ataupun Timbalan Perdana Menteri) yang pertama dari Borneo.

Isyarat telahpun diberikan oleh pihak Sarawak dan kini terpulang kepada jentera dan bahagian Warisan seluruh Malaysia serta pengundi-pengundi Sabah semua sama ada mahu mengambil kesempatan ini ataupun tidak.


DARELL LEIKING merupakan timbalan presiden Warisan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS