Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan anggap isu dibangkit cikgu Fadli ancaman pada sistem pendidikan'
Diterbitkan:  Oct 18, 2022 5:13 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata isu yang dibangkitkan guru sekolah rendah, Mohd Fadli Salleh mengenai sukatan pelajaran sekolah dan beg sekolah yang berat tidak boleh dianggap sebagai ancaman kepada sistem pendidikan negara.

Zahid berkata, isu yang dibangkitkan oleh guru matematik yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli, sebaliknya perlu dilihat sebagai maklum balas berharga untuk memperbaiki sistem pendidikan.

"Dalam konteks ini realiti zaman dan sifat realistik perlu ada. Bak kata Cikgu Fadli jangan hanya nak samakan silibus sahaja dengan zaman dan negara maju yang lain.

"Perlu juga samakan dengan aspek fasiliti, masa mengajar, kemudahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fadli, seorang guru sekolah rendah di Gombak, sebelum ini berkongsi kebimbangan akan diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan bahawa sukatan pelajaran Matematik sekolah rendah adalah standard yang terlalu tinggi dan tidak sesuai untuk murid.

Mohd Fadli berkata terdapat terlalu ramai murid di dalam kelas dan mereka mempunyai terlalu banyak subjek untuk dipelajari.

Dia juga mengetengahkan isu murid membawa beg sekolah yang terlalu berat.

Mohd Fadli Salleh

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zahid memberi amaran supaya tidak terlalu taksub mencontohi sistem pendidikan dari negara lain.

"Apatah lagi acuan luar negara menekankan perlunya fasiliti, masa mengajar dan kemudahan untuk memberikan yang terbaik kepada semua pelajar.

"Kita perlu pertimbangkan isu pendidikan di luar bandar contohnya di Sabah dan Sarawak, orang asli di semenanjung malah di kawasan pinggir bandar juga masih ada yang sukar mendapat akses internet yang memuaskan," katanya.

Tambah Zahid, dalam konteks yang lebih luas, desentralisasi pendidikan penting bagi pihak sekolah mengadaptasi pelan pembelajaran dan pengajaran kepada perubahan pada tahap nasional.

Katanya, ia juga akan menjadikan pihak sekolah lebih efektif dan efisien dalam menjalankan pelan pendidikan mereka menurut konteks, budaya dan sumber yang ada pada tahap tempatan.

Zahid mencadangkan, agar Malaysia melaksanakan Universal Design for Learning (UDL) untuk menggantikan pendekatan yang terlalu berpusat.

"Ia bertujuan untuk membina fleksibiliti dan memudahkan sebarang perubahan mengikut konteks tempatan dan lokal dalam pelan pembelajaran dan pengajaran sekolah-sekolah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS