Saingan bagi kerusi parlimen Wangsa Maju mungkin menyaksikan Pakatan Harapan (PH) meletakkan seorang lagi muka baru sebagai calon.
Ini selepas penyandangnya, Tan Yee Kew dikatakan akan bersara daripada politik, dan dengan itu tidak mempertahankan kerusinya untuk memberi laluan kepada calon lain.
Difahamkan ahli PKR telah mencalonkan beberapa nama untuk mengisi kekosongan itu, termasuk dua pemimpin parti - Lee Chean Chung dan Andre Lai.
Lee (gambar atas, kiri) ialah pengarah komunikasi PKR dan Adun Semambu selama dua penggal di Pahang, manakala Lai ialah penyandang ketua cabang PKR Wangsa Maju.
Kedua-duanya tidak pernah bertanding di mana-mana kerusi parlimen sebelum ini.
Semakan di akaun media sosial masing-masing menunjukkan kedua-dua ahli politik terbabit aktif dalam aktiviti bersama pengundi di sekitar kawasan parlimen Wangsa Maju sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Dalam kebanyakan gambar aktiviti yang disiarkan di Facebook, Lee dilihat ditemani Tan manakala Lai begerak bersama ahli bahagian Wangsa Maju.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Lee dan Lai enggan mengesahkan sama ada mereka akan diletakkan sebagai calon, dan menyerahkan kepada kepimpinan PKR dan PH untuk membuat keputusan.
Bagaimanapun, Lee mengesahkan beberapa individu termasuk dirinya telah menghantar nama mereka kepada pucuk pimpinan parti untuk pertimbangan.
"Saya rasa ada beberapa calon. Kami sedang menunggu parti untuk memuktamadkan keputusan," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Lee, dia pernah melihat beberapa orang lain termasuk Lai melakukan aktiviti "di lapangan" dan percaya mereka juga sedang berusaha ke arah membina sokongan, sekiranya dipilih mewakili PH bagi kawasan DUN Wangsa Maju (P116).
Lee berkata dia menganggap saingan itu sebagai sesuatu yang sihat untuk parti, kerana PKR dan PH akan mempunyai lebih daripada satu calon yang baik untuk dipilih.
“Dan saya rasa sesiapa sahaja yang menjadi calon, kita sebagai ahli parti, harus memberi sokongan penuh,” katanya.
Ketika ditanya mengenai Tan, Lee enggan mengulas banyak kecuali berkata penyandang itu tidak mencalonkan dirinya kepada parti untuk mempertahankan kerusinya pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Lai ketika diminta mengulas sama ada dia berharap untuk dipilih sebagai calon, meminta Malaysiakini menunggu pengumuman rasmi parti itu dalam beberapa hari akan datang.
“Saya tiada komen. Pencalonan atau tidak diputuskan dalam proses penilaian yang ketat di bawah JPRP (jawatankuasa pemilihan PKR).
"Ia perlu mengikut proses dan saya percaya ini yang terbaik. Timbalan presiden kita (Rafizi Ramli) juga menerajui jawatankuasa pilihan raya," katanya.
Malaysiakini juga telah menghantar permintaan untuk komen kepada Tan melalui pembantunya.
PKR pertama kali merampas kerusi parlimen Wangsa Maju daripada MCA pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, dan mengekalkannya sejak itu.
Ini termasuk pilihan raya umum ke-14 pada 2018 apabila Tan, yang pertama kali bertanding di kerusi itu, menerima sejumlah 42,178 undi untuk menang dengan majoriti 24,238 undi.
Ini adalah selepas dia pada mulanya hampir kehilangan peluang untuk bertanding di kerusi PKR kerana masalah semasa hari penamaan calon, apabila Tan terlupa membawa MyKad ke pusat penamaan calon.
