Syed Iskandar Syed Jaafar, seorang pengundi di Pandan akan mengetahui pada 28 Oktober ini jika dia akan mendapat kebenaran untuk menghalang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan ketika musim tengkujuh tahun ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini menetapkan tarikh keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh peguamnya.
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan lisan daripada peguam kedua-dua pihak.
Bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram yang kini seorang peguam mewakili pemohon Syed Iskandar.
Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili tiga responden dalam perkara itu, iaitu Ismail Sabri Yaakob (dalam kapasiti sebagai perdana menteri sementara), pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (yang tidak dinamakan), dan kerajaan Malaysia.
Menerusi tindakan undang-undang yang difailkan pada 14 Oktober lalu, Syed Iskandar mendakwa Ismail Sabri gagal mengambil kira kebajikan rakyat yang kurang bernasib baik apabila dia memohon agar Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.
Berdasarkan salinan afidavit sokongan, pengundi berusia 55 tahun itu berkata Ismail Sabri mempunyai kewajipan untuk bertindak secara munasabah demi kepentingan rakyat dan pengundi apabila menghadap Seri Paduka pada 9 Okt lalu dalam pelaksanaan kuasanya bagi meminta pembubaran parlimen.
Pembubaran parlimen diumumkan pada hari berikutnya.
Syed Iskandar mendakwa perdana menteri sementara itu menyalahgunakan kuasa apabila "gagal mengambil kira kepentingan dan kebajikan segmen masyarakat Malaysia yang miskin yang akan terjejas oleh cuaca tengkujuh di mana responden pertama pada setiap masa material menyedari sepenuhnya".
