Dr Mahathir Mohamad meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penggunaan telefon bimbit di pusat pengundian ketika proses pembuangan undi nanti.
Kata bekas perdana menteri itu, penggunaan telefon bimbit semasa proses mengundi boleh menidakkan kerahsian malah mendorong kepada perbuatan rasuah.
"Parti boleh guna maklumat untuk sogokan.
"Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang.
"Tidak bolehkah SPR tegah (pengundi) membawa telefon bimbit semasa mengundi?" tulis penyandang ahli Parlimen Langkawi itu di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu hari ini SPR menetapkan tarikh pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung pada 19 Nov ini.
Hari penamaan calon pula pada 5 Nov, dengan tempoh berkempen 14 hari.
Perkara itu diumumkan Pengerusi SPR Ghani Salleh pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.
PRU15 diadakan selepas Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membubarkan parlimen pada 10 Okt lalu.
Menurut Mahathir ketika ini masih banyak kelemahan dalam pelaksanaan pilihan raya oleh SPR.
Bagaimanapun dakwanya badan itu tidak mempedulikan saranan yang dikemuka.
"Jika tidak dibetulkan rasuah dan penipuan akan dilakukan dalam pilihan raya," katanya lagi.
