Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan mendakwa Pakatan Harapan (PH) menjual aset negara ‘secara borong’ ketika mentadbir negara ini.
Dalam satu kenyataan semalam, Zahida (di atas) berkata semasa pentadbiran PH, gabungan itu membenarkan Khazanah Nasional Bhd melupuskan kepentingannya dalam IHH Healthcare Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd.
Zahida juga merujuk kepada keputusan Kumpulan Axiata menjual pegangannya dalam pengendali mudah alih Singapura, M1 Ltd.
Pegangan majoriti dalam kumpulan Axiata dimiliki oleh beberapa dana yang dikawal kerajaan.
"Dan terus dengan siri penjualan aset-aset strategik negara termasuk aset Tabung Haji.
"Segala aset dan rizab yang dikumpul, dibina Barisan Nasional dahulu di jual secara 'borong'," dakwanya dalam kenyataan semalam.
Pada akhir 2019, pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd, Shahril Ridza Ridzuan berkata, adalah perkara biasa bagi syarikat itu untuk merealisasikan pelaburannya dan menggunakan semula modal untuk pelaburan baru.
Bagaimanapun, Zahida mendakwa PH telah menjual "aset negara" untuk menjayakan propaganda mereka bahawa kerajaan sudah bankrap.

Dia juga mendakwa langkah itu diambil bagi menghapuskan legasi pencapaian BN dalam membina negara.
"Akhirnya siapa untung, siapa rugi? Menteri-menteri PH untung selesa goyang kaki di Putrajaya, rakyat menanggung kesan buruk yang masih belum pulih.
"Kali ini adik-adik semua tetapkan pendirian, pilih parti yang terbukti mampu bawa kestabilan dan beri khidmat terbaik pada rakyat.
“Jangan salah pangkah lagi," katanya.
