Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid: Tak mengejutkan Hadi dalang guling kerajaan PH
Diterbitkan:  Oct 23, 2022 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata dia tidak terkejut jika Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memulakan langkah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak hairan jika Hadi adalah salah seorang dalang kerana ia memerlukan fikiran jahat untuk melakukan perkara ini.

"Hadi sangat berbeza dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz. Tok Guru tidak akan bersetuju dengan Langkah Sheraton kerana dia menghormati mandat pengundi," kata Khalid.

Khalid berkata demikian ketika ditemui pihak media di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya susulan perbincangan antara pemimpin Muda dan PH hari ini.

“Hadi sangat terdesak dalam memastikan PAS kekal berkuasa dan Harapan tidak kekal berkuasa kerana semakin lama Harapan berkuasa, semakin terkenal kita dan semakin sukar untuk PAS mengendalikan ahli dan penyokong mereka sendiri,” kata Khalid.

Khalid merupakan bekas pemimpin progresif dalam PAS yang yang bertindak keluar daripada parti itu bagi membentuk parti Amanah.

Dia berkata, selepas menjadi kerajaan PH telah mengambil banyak tindakan dan keputusan yang baik bukan sahaja untuk masyarakat umum tetapi juga untuk orang Melayu dan Islam.

"Ini termasuk menaik taraf Mahkamah Syariah, menyelamatkan Tabung Haji dan pemberian royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu. Semua isu ini sukar untuk Hadi tangani dan Hadi terdesak untuk melihat PH tumbang," kata Khalid.

Statut Rom, ICERD

Abdul Hadi baru-baru ini berkata selepas pentadbiran PH gagal meratifikasi Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), dia berpendapat ia bukti bahawa beberapa parti komponen PH bersikap anti-Islam.

Selepas dua isu itu mencetuskan kontroversi, Abdul Hadi berkata dia mendekati Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada masa itu untuk menjatuhkan pentadbiran PH.

Susulan persetujuan Muhyiddin, Abdul Hadi berkata rundingan kemudiannya diadakan dengan Umno.

Icerd ialah perjanjian yang bertujuan untuk menangani diskriminasi kaum sebagai tindak balas kepada dasar apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan, namun dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam, walaupun kerajaan ketika itu memberi jaminan bahawa "pengecualian" akan dibuat berhubung hak keistimewaan di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, langkah meratifikasi Statut Rom akan memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang menimbulkan kebimbangan bahawa Majlis Raja-Raja akan berada di bawah bidang kuasa ICC.

Lihat Komen
ADS