Musa nafi buat kenyataan minta BPR siasat Johari

   

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan menafikan beliau pernah membuat kenyataan seperti yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Malaysia semalam.

Dalam satu kenyataan, Musa berkata beliau tidak pernah ditemubual atau mengeluarkan kenyataan seperti yang disiarkan oleh akhbar berkenaan.

Akhbar tersebut pada muka depannya melaporkan Ketua Polis Negara itu berkata beliau tidak mahu berpolemik dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharom berhubung tuduhan polis gagal mengemukakan bukti yang cukup dan tidak menyiasat dengan betul penjenayah-penjejayah yang dirujuk mengikut Ordinan Darurat.

Menurut Bernama, Musa juga dilaporkan meminta satu siasatan yang adil dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membuktikan siapa yang betul dan salah dalam dakwaan Mohd Johari menerima sogokan RM5 juta kerana membebaskan beberapa penjenayah mengikut Ordinan Darurat.

Sementara itu, Mohd Johari berkata pandangan Penasihat Undang-Undang atau pegawai kementerian dipohon bagi kes-kes yang disyorkan untuk dibebaskan atau digantung perintah tahanan oleh Lembaga Penasihat.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, pandangan mereka bertujuan mendapatkan sebab dan alasan untuk digunapakai oleh Lembaga Penasihat dalam syor pembebasan atau penggantungan perintah tahanan tersebut.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu bagi mengulas kenyataannya kepada akhbar semalam berhubung dakwaan kononnya beliau menerima rasuah RM5.5 juta bagi membebaskan tiga penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In