mk-logo
Berita
'Pelik bila lalu kawasan itu, angin tolak heli ke atas' - Juruterbang
Diterbitkan:  Oct 28, 2022 7:20 AM
Dikemaskini: 11:20 PM

Juruterbang yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas semasa mendarat di Brinchang, semalam, Kapten Fedzrol Norazam telah menggunakan segala kemahiran yang dimilikinya dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan keselamatan penumpang.

Katanya, beliau berusaha mencari tempat pendaratan selamat apabila tiba-tiba angin kuat sehingga menyebabkan pesawat berkenaan sukar dikawal dan tidak stabil serta bergerak menghampiri kawasan bukit.

"Semasa dalam perjalanan pulang dari Gua Musang kami menggunakan laluan biasa namun cuaca hujan di kawasan Kampung Raja (Cameron Highlands) menyebabkan saya terpaksa beralih ke kawasan yang tidak hujan sebelum ke Brinchang, di mana terdapat lokasi yang membenarkan laluan helikopter.

"Apabila saya melalui kawasan itu, ada satu perkara pelik… angin menolak helikopter ke atas dan rasa ada yang tidak kena serta (saya) cuba mengawalnya sebaik mungkin tetapi saya tidak memberitahu penumpang bagi mengelakkan mereka panik.

"Saya cuba berpatah balik tetapi angin terus menolak helikopter rapat ke bukit ketika berada di ketinggian 5,000 kaki dan sukar untuk turun ke bawah, malah (helikopter) masih dalam keadaan tidak stabil walaupun telah menggunakan kekuatan enjin sepenuhnya," katanya kepada pemberita ketika menceritakan detik cemas itu.

Terdahulu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin melawat Fedzrol dan lima kakitangan Kementerian Kesihatan dari Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta yang terlibat dalam kejadian itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, semalam.

Hentam mulai ekor helikopter

Fedzrol berkata beliau kemudian memutuskan untuk mengambil langkah alternatif iaitu melakukan suatu teknik khas bagi memastikan hentaman yang berlaku ketika terhempas bermula daripada ekor helikopter supaya penumpang selamat.

"Apabila terhempas, saya tidak sedarkan diri selama beberapa minit dan sebaik sedar, saya terdengar suara mereka memanggil saya dan mendapati semua penumpang telah berjaya keluar menyelamatkan diri, manakala saya masih di tempat duduk dengan memakai tali pinggang keledar dan tangan masih memegang handle (stereng)," katanya.

Fedzrol yang mengalami pendarahan pada bahagian kepala berkata beliau amat bersyukur kerana kesemua penumpang termasuk dirinya selamat.

Katanya kejadian itu tidak mematahkan semangatnya dalam bidang penerbangan malah masih berani untuk mengendalikan pesawat, namun beliau bimbang persepsi orang ramai serta pihak berkuasa yang menilai kemampuannya berikutan kemalangan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS