Lima kumpulan NGO memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan Ketua Polis Negara dan peguam negara (AG) untuk tidak mendakwa pendakwah bebas, Syakir Nasoha kerana kenyataannya yang didakwa menghasut terhadap orang bukan Islam.
Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S Shashi Kumar berkata semakan itu difailkan berikutan maklum balas daripada Bukit Aman pada 17 Jun, menyatakan kes terhadap Syakir telah diklasifikasikan sebagai 'tiada tindakan lanjut' (NFA) selepas kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Tetapi di sini mereka hanya bercakap tentang satu video yang cukup untuk mensabitkan Syakir di bawah Akta Hasutan. Bagaimana dengan tiga video yang lain,” soal Shashi dalam satu kenyataan hari ini.
Dia merujuk kepada kenyataan Syakir dalam empat video yang disiarkan di media sosial. Presiden GHRF itu mendakwa kandungan video tersebut menyebarkan “sifat perkauman, fanatik dan ekstremisme".
Pengurusan kes untuk semakan kehakiman itu ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Selain GHRF, antara kumpulan lain yang terlibat dalam kes itu ialah Parti Bangsa Dayak Sarawak, Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak, Bekas Pelajar Sekolah Cina dan Pertubuhan Malaysia Tamilar Munnetra Kalagam.
Pemohon memohon pengisytiharan bahawa penolakan untuk bertindak terhadap Syakir adalah menyalahi undang-undang dan salah guna kuasa di pihak polis dan Peguam Negara.
Mereka juga memohon suatu perintah mandamus untuk menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap pendakwah itu kerana, menurut pemohon, Peguam Negara gagal menjalankan tugasnya dan keputusan dibuat sewenang-wenangnya dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Shashi mendakwa kes Syakir bukan kali dilaporkan, di mana ia kemudiannya diklasifikasikan sebagai NFA.
Dia juga berkata laporan juga dibuat terhadap pendakwah lain yang didakwa menghasut seperti Zamri Vinoth Kalimuthu, Firdaus Wong Wai Hung dan ustaz Idris Sulaiman.
Bagaimanapun, tiada maklumat terkini daripada pihak polis berhubung kes ini sejak laporan dibuat, katanya.
“Kenapa double standard?” soal Shashi, sambil memetik Perkara 8(1) dan 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 8(1) menyatakan bahawa semua individu adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama rata manakala 8(2) menyatakan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara hanya atas alasan agama, bangsa, keturunan, tempat kelahiran atau jantina dalam mana-mana undang-undang.
Pada Dis 2021, memorandum yang ditandatangani bersama oleh hampir 60 kumpulan masyarakat sivil berbilang kaum telah diserahkan kepada Bukit Aman, mempersoalkan kelewatan penahanan Syakir berhubung kenyataannya itu.
Pada masa itu, Syakir disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat untuk menghasut atau yang berkemungkinan mengundang mana-mana golongan atau komuniti untuk melakukan apa-apa kesalahan terhadap mana-mana golongan atau komuniti lain, dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia1988 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Dalam kenyataannya hari ini, Shashi berkata mereka telah memutuskan untuk membawa perkara ini ke mahkamah selepas semua usaha yang lain tidak berjaya sepanjang pentadbiran BN, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN).
“Pada masa ini kita mempunyai tiga kes aktif yang belum selesai di mahkamah berhubung penghinaan agama bukan Islam di negara ini, oleh pendakwah Islam yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Shashi juga mempersoalkan parti politik berbilang kaum seperti PH serta Muda mengenai pendirian mereka dalam perkara ini, yang menurutnya berdiam diri setakat ini.
“PRU15 tinggal beberapa minggu lagi dan kami mahu melihat mereka bersuara untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Rang undang-undang kebencian kaum mesti dibentangkan di Parlimen demi keamanan, perpaduan dan keharmonian sesama rakyat Malaysia,” katanya.
