Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PH janji turunkan kadar tol, kekal dasar isytihar harta
Diterbitkan:  Nov 2, 2022 12:30 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

PRU15 | Pakatan Harapan (PH) hari ini melancarkan manifestonya yang berjanji untuk menurunkan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) jika gabungan itu kembali ke Putrajaya pada 19 Nov ini.

Ikrar tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif yang dinyatakan PH ketika mereka menyertai PRU ke-14 pada 2018.

Selepas membentuk kerajaan pusat, PH mengkaji semua perjanjian konsesi lebuh raya sebelum gabungan berkenaan dijatuhkan oleh sekumpulan ahli parlimen yang berpaling tadah pada 2020.

Menurut manifesto PH kali ini, mereka menyatakan komitmen untuk menyemak semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding dengan mereka bagi mendapatkan harga terbaik.

Langkah itu, kata PH, akan membolehkan kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus bagi lebuh raya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2).

"Kami berazam untuk terus mengurangkan tol PLUS secara beransur-ansur dengan matlamat utama untuk menghapuskan tol dan mengembalikan lebuh raya PLUS kepada pemilikan awam," kata manifesto bertajuk Tawaran Harapan PRU15 itu.

Turut ditegaskan oleh PH kali ini ialah matlamat mereka untuk meneliti proses pelantikan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Pencalonan ketua pesuruhjaya SPRM mesti disaring oleh Jawatankuasa Khas Parlimen dwipartisan.

"Ini akan memastikan pencalonan individu yang benar-benar berkecuali yang tidak akan melindungi kepentingan mana-mana pihak tertentu," kata dokumen tersebut.

PH juga berjanji ntuk meneruskan amalan pengisytiharan harta untuk semua menteri, ahli parlimen, penjawat awam kanan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Bukan tak realistik

Turut mendapat perhatian PH ialah janji untuk memperkenalkan akta bagi memastikan parlimen dibubarkan secara tetap iaitu di akhir sesuatu penggal sebagai langkah meminimumkan risiko ketidakstabilan politik.

Ketika ini perdana menteri mempunyai hak untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan parlimen. Ia membolehkan PRU diadakan secara mengejut, sekali gus memberikan kelebihan yang besar kepada parti kerajaan.

"Ketidaktentuan yang timbul daripada spekulasi tidak berkesudahan berhubung pembubaran mengejut parlimen dan dewan undangan negeri sebelum tamat penggal lima tahun akan menjejaskan keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi secara negatif," kata manifesto itu.

Sementara itu Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, yang menghadiri majlis pelancaran manifesto berkenaan memberitahu gabungan itu akan terlebih dahulu memberi tumpuan kepada langkah memulihkan ekonomi negara sebelum menggerakkan agenda reformasi.

“Jawatankuasa di sebalik manifesto PH telah mengambil kira implikasi kewangan dan manifesto kami mencerminkan permintaan rakyat.

“Adalah tidak tepat untuk menggambarkan manifesto PH sebagai tidak realistik dan populis,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS